Belanjawan 2023: DNB akan kekal terajui pembangunan 5G di Malaysia

24 Feb 2023 • 5:49 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Antara langkah terawal selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa projek pembangunan 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB) akan dikaji semula. Ini kerana DNB yang dilantik sebagai satu-satunya syarikat pembangun dan mengoperasikan 5G di Malaysia, dikatakan tidak telus dan mengikuti syarat yang sepatutnya.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyatakan kerajaan akan memuktamadkan kajian mengenai DNB pada suku pertama tahun ini, dijangka pada bulan Mac. Tetapi dalam pembentangan Belanjawan 2023 hari ini, PMX seakan memberi petunjuk tentang halatuju 5G dan DNB kelak.

Menurut Anwar, Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya mengambil pendekatan supaya DNB diuruskan dengan lebih telus dan terangkum supaya mencapai penyertaan penuh oleh pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi. Apa yang mustahak adalah untuk mencapai liputan 5G yang menyeluruh dan pada harga yang berpatutan untuk rakyat.

Apa yang kami lihat daripada kenyataan ini, pembangunan 5G oleh DNB diberi lampu hijau oleh kerajaan. Tetapi ia akan melibatkan syarikat telekomunikasi, tidak lagi diputuskan sebelah pihak oleh DNB sahaja.

image is not available

Buat masa ini, tidak dapat dipastikan apakah langkah tersebut tetapi pastinya syarikat telekomunikasi seperti Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile akan memiliki lebih banyak suara dan pandangan untuk pembangunan dan perkhidmatan 5G. Keputusan muktamad mengenai 5G dan DNB akan diketahui kemudian apabila kerajaan mengumumkannya nanti.

Sehingga kini, hanya Maxis menjadi satu-satunya syarikat telekomunikasi utama yang masih belum menandatangani perjanjian akses 5G bersama DNB. Syarikat lain iaitu Celcom, Digi, U Mobile, Telekom Malaysia dan YTL Communications telah bersetuju dan mula menggunakan perkhidmatan 5G yang disediakan DNB. Maxis menyatakan, mereka menunggu keputusan kerajaan mengenai DNB sebelum mengambil langkah seterusnya.

Bacaan Berkaitan