Belanjawan 2024: Kerajaan peruntuk RM110 juta naik taraf pusat penjaja, pasar awam uzur 

13 Oct 2023 • 7:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2024: Kerajaan peruntuk RM110 juta naik taraf pusat penjaja, pasar awam uzur

zulfadli

13/10/2023 - 19:39

KUALA LUMPUR 13 Okt - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM110 juta bagi kerja-kerja baik pulih dan naik taraf pusat penjaja dan prasarana pasar awam yang uzur di 150 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menyasarkan 10,000 gerai-gerai dan warung-warung kecil untuk diperindah dan ditingkatkan tahap kebersihan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Beliau berkata, sebanyak 4,000 unit ruang niaga baharu yang seragam, selesa dan selamat akan dibina di seluruh kawasan PBT dengan peruntukan RM50 juta.

Katanya, kerajaan turut bersetuju mengecualikan bayaran sewa kiosk bagi 6 bulan pertama untuk rakyat berniaga.

"Ekonomi rakyat akan terus diangkat dan dimartabat. Saya tetap dengan azam yang sama iaitu mahu negara ini dikenali dengan kemudahan peniaga, gerai dan warung yang bersih, indah dan selamat.

"Saya beri jaminan bahawa kebajikan penjaja serta peniaga di pasar-pasar akan terus dipelihara bagi memastikan keselesaan buat mereka dan pengunjung," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

image is not available

Tambah Anwar, agensi MARA, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan turut menaik taraf kemudahan perniagaan mereka. - DagangNews.com