Belanjawan 2026: Pahang sasar kutipan hasil RM1.279 bilion

LocalBusiness & Finance
5 Dec 2025 • 1:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2026: Pahang sasar kutipan hasil RM1.279 bilion
image is not available
liza05/12/2025 - 13:13 Kredit gambar Pahang Media Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Dis – Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan kutipan hasil mencecah RM1.279 bilion dalam Belanjawan 2026, dengan unjuran peningkatan7% berbanding Belanjawan 2025.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM1.274 bilion diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus merangkumi perbelanjaan emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pemberian dan kenaan bayaran tetap serta perbelanjaan lain dan aset.

 

Jumlah itu adalah peningkatan sebanyak RM91.83 juta atau 7.76% berbanding tahun 2025 dengan lebihan atau surplus sebanyak RM5 juta.

 

Beliau berkata, bagi menampung perbelanjaan pembangunan negeri dan untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek, peruntukan sebanyak RM446.26 juta disediakan iaitu kenaikan sebanyak 11.67% peratus daripada peruntukan pembangunan tahun 2025.

 

“Di kesempatan ini, saya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan atas kelulusan 15 buah projek dan inisiatif untuk negeri Pahang menerusi Belanjawan 2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2025.

 

“Selaras dengan Aspirasi Pahang 1st, belanjawan ini adalah kesinambungan kepada visi besar negeri iaitu sebuah pelan tindakan yang dirancang, bersifat menyeluruh serta bersandarkan pada 7 teras utama yang menjadi nadi pembangunan negeri.

 

“Melalui pendekatan yang ikhlas dan berteraskan tadbir urus yang baik, Kerajaan Negeri beriltizam membawa Pahang ke mercu kemajuan yang mampan dengan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap perancangan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang hari ini.

 

Bertemakan ‘Pahang 1st : Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan’, Belanjawan 2026 itu menyediakan peruntukan berjumlah RM235.95 juta peningkatan sebanyak RM39.89 juta (20.35%) berbanding tahun 2025 untuk memperkukuhkan syiar Islam.

 

“Peningkatan ini adalah bukti jelas bahawa Kerajaan Negeri bukan sahaja mengekalkan komitmen memperteguh syiar Islam tetapi meningkatkannya dengan lebih agresif dan berstrategi, sekaligus menepis dakwaan yang menuduh Kerajaan Negeri tidak islamik dan sekular,” katanya.

 

Untuk tahun 2025, Pahang mencatat RM18.04 bilion pelaburan komited meliputi sektor pembuatan, perlombongan, tenaga, hab industri dan projek infrastruktur utama, sekali gus mengatasi sasaran awal RM14.09 bilion.

 

Pahang akan terus menarik pelaburan asing dan domestik, didorong kestabilan politik, kepastian dasar serta pembangunan zon industri baharu termasuk di Gebeng, Kuantan, Pekan, Maran dan Jerantut, katanya. - DagangNews.com

Terkini standard