Belanjawan 2026: Peruntukan pelancongan perlu diurus cekap dan berhemat - Persatuan Hotel Malaysia

LocalTravel
13 Oct 2025 • 12:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2026: Peruntukan pelancongan perlu diurus cekap dan berhemat - Persatuan Hotel Malaysia

image is not available

13/10/2025 - 12:28

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Okt – Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mahu semua peruntukan sektor pelancongan yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 diurus secara cekap, disalurkan tepat pada masanya dan digunakan secara berhemat bagi memastikan impaknya benar-benar dirasai industri serta rakyat.

Presidennya, Datin Christina Toh berkata, cabaran sebenar bukan semata-mata pada saiz peruntukan yang disalurkan, tetapi keberkesanan pelaksanaannya.

“Dana yang besar tidak akan memberi kesan sekiranya perancangannya tidak teliti dan pelaksanaannya lambat atau tidak menyeluruh.

“Dana ini mesti diurus secara telus dan disalurkan tepat pada masanya bagi memastikan sektor pelancongan benar-benar mampu bangkit dan bersaing di peringkat antarabangsa menjelang 2026,” katanya dalam satu kenyataan.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM700 juta untuk sektor pelancongan di bawah Belanjawan 2026, termasuk RM500 juta bagi pelaksanaan program Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Selain aspek kemudahan dan infrastruktur, beliau berkata, MAH juga melihat pembangunan tenaga kerja sebagai keutamaan penting dalam memperkukuh daya saing industri menjelang kempen TMM 2026.

image is not available

Katanya, kejayaan pelancongan negara bukan sahaja bergantung kepada promosi dan kempen, tetapi turut ditentukan oleh kecekapan serta kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

“Sehubungan itu, aspek latihan dan peningkatan kemahiran perlu dipertingkatkan supaya tenaga kerja tempatan mampu memenuhi piawaian industri antarabangsa.

“Human Resource Development Corporation (HRDC) telah memperuntukkan sebanyak RM3 bilion untuk latihan dalam bidang digital dan teknologi, satu langkah penting ke arah melahirkan tenaga kerja lebih berkemahiran tinggi.

“Oleh itu, pemain industri hotel dan pelancongan turut berharap sebahagian dana ini dapat disalurkan secara khusus kepada latihan dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) dan Digital.

“Pelaburan dalam kemahiran baharu ini dijangka membantu sektor pelancongan bergerak seiring perubahan teknologi global serta meningkatkan pengalaman pelancong dengan lebih efisien dan inovatif,” katanya.

Selain itu, peningkatan kemahiran dalam aspek hospitaliti, pengurusan acara, keselamatan pelancong dan komunikasi pelbagai bahasa turut dilihat sebagai keutamaan agar pengalaman pelancong ke Malaysia lebih berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

Menurut MAH, pelaburan dalam modal insan ini juga akan memberi kesan limpahan ekonomi yang lebih luas kepada komuniti tempatan, sekali gus memperkukuh ekosistem pelancongan negara.

Dalam pada itu, MAH turut mengalu-alukan pelbagai insentif cukai yang diumumkan dalam belanjawan, termasuk pengecualian cukai untuk pengendali pelancongan, pengubahsuaian premis pelancongan dan galakan bagi aktiviti MICE.

Katanya, MAH akan terus bekerjasama rapat dengan Tourism Malaysia untuk mempergiat promosi pelancongan domestik melalui kempen Cuti-Cuti Malaysia di beberapa lokasi seperti Johor Bahru, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Pahang.

“Industri hotel kekal sebagai salah satu tonggak utama sektor pelancongan negara. Dengan pengurusan peruntukan yang berkesan serta pelaburan dalam kemahiran dan teknologi, Malaysia berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran 47 juta pelawat dan RM329 bilion dalam hasil pelancongan sempena TMM 2026,” katanya. - DagangNews.com

standard