Belanjawan 2027: Ahli farmasi kontrak tidak boleh dipinggirkan - MPS

LocalPolitics
9 Oct 2026 • 9:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Belanjawan 2027: Ahli farmasi kontrak tidak boleh dipinggirkan - MPS
MPS menggesa kerajaan dan KKM memberikan penjelasan khusus mengenai status ahli farmasi kontrak susulan Belanjawan 2027, termasuk laluan jelas bagi mereka yang masih menunggu lantikan tetap. Foto hiasan
Image from: Belanjawan 2027: Ahli farmasi kontrak tidak boleh dipinggirkan - MPS
Amrahi Buang

SHAH ALAM - Ahli farmasi kontrak tidak boleh terus berdepan ketidakpastian masa depan kerjaya, sebaliknya perlu diberikan laluan jelas ke arah lantikan tetap susulan pengumuman pelantikan tetap lebih 9,000 doktor kontrak menerusi Belanjawan 2027.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Profesor Amrahi Buang berkata, ketidakpastian pekerjaan sekian lama dihadapi ahli farmasi kontrak juga perlu diberi perhatian bagi memastikan kebajikan serta masa depan kerjaya mereka terbela.

Menurutnya, ahli farmasi kontrak berkhidmat bersama profesional kesihatan lain di hospital awam, klinik kesihatan dan fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mereka memikul tanggungjawab penting dalam pengurusan ubat-ubatan, perkhidmatan farmasi klinikal, keselamatan penggunaan ubat, pengawasan antimikrob serta memastikan ubat digunakan secara selamat dan berkesan.

"Bagaimanapun, ramai dalam kalangan mereka masih berdepan ketidakpastian berhubung lantikan tetap, perkembangan kerjaya dan masa depan jangka panjang dalam perkhidmatan kesihatan awam," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

**media[3673595]**

Amrahi berkata, MPS menggesa kerajaan dan KKM memberikan penjelasan khusus mengenai status ahli farmasi kontrak susulan Belanjawan 2027, termasuk laluan jelas bagi mereka yang masih menunggu lantikan tetap.

Menurutnya, walaupun keperluan tenaga kerja dan mekanisme pelantikan mungkin berbeza mengikut profesion kesihatan, perkara itu tidak seharusnya menyebabkan ahli farmasi kontrak terus berdepan ketidakpastian tanpa kejelasan mengenai masa depan mereka.

"Ahli farmasi yang telah berkhidmat selama bertahun-tahun dalam sistem penjagaan kesihatan awam wajar diberikan laluan yang telus, adil dan mampan ke arah pekerjaan jangka panjang," ujarnya lagi.

Justeru, beliau berharap kerajaan mengambil tiga langkah utama iaitu memberikan pengesahan jelas mengenai perancangan terhadap ahli farmasi kontrak, menetapkan garis masa dan mekanisme pelantikan tetap telus serta mengadakan perbincangan dengan profesion farmasi bagi menentukan keperluan tenaga kerja KKM untuk jangka panjang.

Amrahi berkata, usaha kerajaan memperkukuh dan menstabilkan tenaga kerja kesihatan negara tidak seharusnya mengabaikan ahli farmasi yang turut berdepan isu ketidakpastian pekerjaan.

“Ini bukan tuntutan untuk mendapatkan layanan istimewa, sebaliknya seruan supaya keadilan, ketelusan dan pengiktirafan sewajarnya diberikan kepada setiap profesion kesihatan yang menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam.

“Ahli farmasi kontrak telah berkhidmat untuk negara. Masa depan mereka juga wajar diberikan kejelasan,” tegasnya lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved