
PETALING JAYA – Kerajaan Madani akhirnya merungkai permasalahan legasi membabitkan doktor kontrak menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyelesaian isu berkenaan merupakan antara perkara penting yang menjadikan belanjawan kali ini cukup bermakna dalam usaha meningkatkan martabat rakyat Malaysia.
Menurut beliau, Belanjawan 2027 turut memperkukuh usaha menangani tekanan kos sara hidup menerusi peningkatan kadar gaji minimum serta langkah memastikan graduan menerima upah yang bermaruah.
“Belanjawan 2027 yang saya bentangkan hari ini merupakan langkah penting dalam usaha berterusan Kerajaan Madani untuk mengangkat martabat setiap warga Malaysia, dengan aspirasi menggapai di langit dan mengakar di bumi,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus bekerja keras memperkukuh ekonomi negara dan memastikan hasil kemakmuran dapat dikembalikan secara adil kepada seluruh rakyat.
Anwar turut berharap pelbagai inisiatif dan reformasi yang digariskan menerusi belanjawan itu dapat membawa manfaat kepada rakyat serta memperkukuh pembangunan negara. – KOSMO! ONLINE
The post Belanjawan 2027 rungkaikan isu legasi doktor kontrak appeared first on Kosmo Online.






