KUALA LUMPUR - Peruntukan keseluruhan bantuan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) meningkat kepada RM1.5 bilion yang bakal memanfaatkan lebih 300,000 penerima.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik ditingkatkan dari RM500 kepada RM600 sebulan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, ambang pendapatan bagi melayakkan Elaun Pekerja OKU ditingkatkan dari RM1,700 kepada RM2,000.
"Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas pula ditingkatkan dari RM150 kepada RM200 sebulan untuk manfaat 150,000 murid istimewa termasuk anak autistik.
"Insentif Pengajaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas juga ditingkatkan dari RM250 kepada RM300 sebulan untuk 20,000 guru pendidikan khas," katanya ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.
Anwar turut memaklumkan, dua Pusat Permata Kurnia bakal dibina, masing-masing di Melaka dan Pahang sebagai hab khusus untuk anak-anak autistik diberi pendidikan, sokongan serta latihan sewajarnya.
Jelasnya lagi, lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu akan dibuka di kawasan desa di seluruh negara bagi membolehkan anak autistik daripada golongan keluarga susah mendapat bimbingan awal yang lebih berkesan.
"Sebanyak 15 premis Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dinaik taraf kepada Pusat Terapi Khusus untuk memanfaatkan 20,000 OKU Sindrom Down berdaftar.
"Selain itu, 3,000 penjaga OKU baharu dibekalkan kemahiran khusus bagi memenuhi keperluan perkhidmatan penjagaan OKU di seluruh negara," ujarnya.



