
PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.5 bilion kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) yang akan memanfaatkan 300,000 orang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merangkumi kadar bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik ditingkatkan daripada RM500 kepada RM600 sebulan.
Katanya, ambang pendapatan bagi melayakkan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya juga ditingkatkan daripada RM1,700 kepada RM2,000.
“Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas ditingkatkan daripada RM150 kepada RM200 ringgit sebulan, untuk memanfaat 150,000 murid istimewa termasuk anak autistik.
“Insentif Pengajaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas ditingkatkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan, untuk memanfaat 20,000 guru pendidikan khas,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan dua buah Pusat Permata Kurnia di Melaka dan Pahang sebagai pusat khusus untuk anak-anak autistik diberi pendidikan, sokongan dan Latihan.
Katanya, lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu dibuka di kawasan desa seluruh negara bagi membolehkan anak autistik keluarga susah mendapat bimbingan awal lebih berkesan.
“Sebanyak 15 premis Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dinaik taraf kepada Pusat Terapi Khusus untuk memanfaat 20,000 OKU Sindrom Down berdaftar.
“Seramai 3,000 penjaga OKU baharu dibekalkan kemahiran khusus bagi memenuhi keperluan perkhidmatan penjagaan OKU di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN
The post Elaun Berkeperluan Pendidikan Khas dinaik RM200 appeared first on Utusan Malaysia.





