
JOHOR BAHRU, 7 NOV: Bantuan khas kewangan RM1,000 kepada pemandu bas sekolah yang diumumkan pada Belanjawan 2027 disifatkan tepat pada masa, terutama bagi membantu golongan itu apabila sesi persekolahan berakhir.
Presiden Gabungan Pengusaha dan Pemandu Bas Sekolah Malaysia Dr M. Muruga berkata bantuan itu amat bermakna memandangkan kutipan tambang bas sekolah terjejas pada cuti persekolahan.
“Ini juga pengiktirafan daripada kerajaan dan kami berbangga kerana kebajikan pemandu bas sekolah turut mendapat perhatian menerusi Belanjawan 2027,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Muruga berkata terdapat lebih 3,000 ahli berdaftar di bawah gabungan itu di seluruh negara, dengan 60 peratus daripadanya golongan wanita.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Pemandu Bas Sekolah Negeri Johor menyeru pemandu belum mendaftar untuk menyertai persatuan di negeri mereka supaya tidak tercicir daripada maklumat dan inisiatif bantuan.
Sementara itu, pengerusi gabungan tiga persatuan teksi rentas sempadan Johor Bahru-Singapura Mohd Suhaimi Saidi berkata bantuan itu dapat meringankan beban kewangan pemandu teksi terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan peningkatan kos sara hidup.
Pemberian itu, menurut Mohd Suhaimi amat bermakna buat golongan pemandu teksi bagi menampung kos penyelenggaraan kenderaan serta perbelanjaan harian.
“Bantuan ini sangat membantu meringankan beban kami yang turut bersaing dengan e-hailing terutama apabila ia diberikan hampir kepada sambutan Deepavali,” katanya yang menambah persatuan itu mempunyai 189 ahli.
Pada pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menyalurkan bantuan khas kewangan secara sekali bayar sebanyak RM1,000 kepada 38,000 pemandu teksi termasuk kereta sewa, serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara.
Bantuan itu yang menggunakan hasil penjualan nombor pendaftaran khas H disalurkan sebagai antara langkah memulangkan hasil kepada rakyat.





