
KUALA LUMPUR – Pembangunan ekonomi jingga yang merangkumi industri filem, animasi, muzik serta seni dan budaya antara perkara yang diketengahkan Kementerian Komunikasi untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, cadangan berkenaan merupakan antara usaha kementeriannya untuk memperkukuh sektor ekonomi kreatif yang dilihat mempunyai potensi untuk terus dibangunkan.
Menurut beliau, Kementerian Komunikasi kini memberi perhatian kepada aspek baharu itu susulan penubuhan Majlis Ekonomi Jingga yang akan meneliti pembangunan sektor berkenaan secara lebih menyeluruh.
“Memandangkan kita telah bentuk satu Majlis Ekonomi Jingga yang akan meneliti pembangunan ekonomi kreatif yang menyentuh filem, animasi, muzik, seni dan budaya.
“Jadi memang bagi pihak Kementerian Komunikasi ada beberapa perkara yang kita ketengahkan dan kita harap dapat diberi pertimbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Wacana Awam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13): Hala Tuju dan Cabaran, di sini hari ini.
Sebelum ini, Fahmi memaklumkan Kementerian Komunikasi telah mengemukakan lebih 20 cadangan dan inisiatif baharu serta penambahbaikan program sedia ada kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.
Cadangan tersebut merangkumi pelbagai bidang dan agensi di bawah kementerian, termasuk maklum balas daripada pemain industri seni menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), selain inisiatif berkaitan dana kandungan dan penganjuran acara.
Ekonomi jingga sebelum ini turut dimasukkan dalam dokumen akhir RMK13 hasil cadangan dan sesi libat urus antara Kementerian Komunikasi dengan Kementerian Ekonomi.
Dalam perkembangan berkaitan, Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen pada 9 Oktober ini.- KOSMO! ONLINE
The post Belanjawan 2027: Ekonomi jingga antara fokus kementerian – Fahmi appeared first on Kosmo Online.






