
Bersempena dengan pengumuman Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan peningkatan pendapatan minima pekerja Malaysia dari RM1700 ke RM2000, beliau juga telah mengumumkan bahawa pihak kerajaan sedang berunding untuk menetapkan pendapatan minima untuk para pekerja gig di Malaysia.
Seramai 600 ribu rakyat Malaysia mencari rezeki sebagai pemandu seru-pandu dan penghantaran makanan dan barang. Untuk memastikan bahawa pekerja-pekerja ini boleh memperoleh pendapatan yang setimpal dengan pekerjaan mereka, Majlis Perundingan Gig kini sedang dalam proses rundingan untuk menetapkan kadar pendapatan minimum untuk mereka.
Formula pendapatan serta standard minimum perlindungan sosial bagi para pekerja gig dikatakan akan dimuktamadkan pada awal tahun 2027. Sementara menunggu untuk keputusan rundingan tersebut, kerajaan dan juga Grab sudah bersetuju untuk membiayai bersama para pekerja tersebut dengan satu pakej kewangan bernilai RM160 juta untuk meningkatkan pendapatan bersih mereka bermula 2027.
Pakej ini akan meliputi peningkatan kadar pendapatan minima untuk para pekerja gig, disamping membantu membayar kos penyelenggaraan kenderaan, pembayaran insurans dan juga caruman PERKESO.
Ia dijangka bahawa dengan bantuan kewangan ini, pendapatan bersih untuk pemandu seru-pandu akan ditingkatkan sebanyak RM227 sebulan secara median, manakala penghantar barangan akan meningkat sehingga RM100 sebulan.
Bercakap mengenai caruman PERKESO, kerajaan bersetuju menawarkan insentif caruman padanan PERKESO sebanyak 35 peratus kepada para pekerja gig seru-pandu dan penghantaran barangan. Insentif ini akan ditingkatkan ke 50 peratus sekiranya syarikat-syarikat platform tersebut bersetuju untuk menanggung caruman untuk pekerja-pekerja tersebut.
Liputan Belanjawan 2027 di Amanz disokong oleh Luno Malaysia. Jual dan beli kriptowang dengan selamat melalui Luno.




