
SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memohon supaya subsidi bahan api dan bantuan kepada rakyat terus dikekalkan menerusi Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, antara perkara utama yang diminta kementeriannya kepada Kementerian Kewangan (MOF) termasuk mengekalkan subsidi bahan api, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), subsidi minyak masak serta program penyeragaman harga barang bagi Sabah dan Sarawak.
“Jadi, ini antara permintaan penting kita (KPDN) kepada MOF (Kementerian Kewangan) iaitu subsidi bahan api termasuk SKDS (Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi) dikekalkan. Begitu juga dengan subsidi minyak masak serta program penyeragaman harga barang untuk Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, kita turut berharap program bantuan lain untuk rakyat seperti sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta bantuan lain diteruskan dan dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Festival Jom Malaysia di pekarangan Stadium Negeri Batu Kawan, di sini, malam tadi.
Menurutnya, kesinambungan subsidi dan bantuan berkenaan penting dalam membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, terutama ketika berlaku kenaikan kos bahan api di peringkat global.
Sementara itu, Armizan berkata, isu kos sara hidup membabitkan pelbagai kementerian dijangka menjadi antara perkara yang dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 September ini.
Katanya, mesyuarat berkenaan akan memberi ruang kepada kementerian terbabit mengemukakan cadangan bagi memperkukuh bantuan serta inisiatif berkaitan kos sara hidup rakyat.
“Jadi, ruang akan diberi melalui lapan kluster yang ada di bawah NACCOL untuk kementerian-kementerian yang terlibat mengemukakan inisiatif yang berkaitan sama ada baharu atau sedia ada untuk memperkukuh bantuan yang terkait dengan kos sara hidup rakyat,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Belanjawan 2027: KPDN mohon subsidi, kekal bantuan rakyat appeared first on Kosmo Online.






