
KOTA BHARU: Projek pembangunan berimpak besar menerusi Belanjawan 2027 berpotensi mengubah landskap pembangunan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat negeri serambi Mekah selepas sekian lama berdepan masalah bekalan air bersih, banjir serta pengangkutan awam.
Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Dr. Hafidzah Mustakim berkata, keseluruhan projek yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah pemangkin perubahan yang mampu membawa manfaat besar kepada rakyat negeri ini.
Katanya, antara projek yang diberi perhatian adalah perancangan Empangan Lebir bagi menangani masalah banjir dan bekalan air, pembinaan Loji Rawatan Air Machang, penggantian paip uzur serta pembangunan stesen bas di Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Kota Bharu.
“Semua ini menyentuh permasalahan asas kehidupan rakyat Kelantan yang telah sekian lama berdepan dengan isu bekalan air bersih, banjir, infrastruktur jalan dan pengangkutan awam.
“Inilah pembangunan yang kita harapkan. Bukan sekadar projek fizikal tetapi pembangunan yang mampu meningkatkan kualiti hidup, membuka peluang ekonomi dan membawa perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama itu turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas komitmen Kerajaan Madani terhadap pembangunan Kelantan.
Beliau berharap semua perancangan yang diumumkan itu dapat diterjemah kepada pelaksanaan berkesan supaya rakyat negeri ini benar-benar menikmati perubahan yang dinantikan sejak sekian lama.
“Kelantan berhak menikmati pembangunan yang adil dan seimbang serta tidak lagi ketinggalan berbanding negeri lain,” ujarnya. – UTUSAN
The post Belanjawan 2027 mampu ubah nasib rakyat serambi Mekah appeared first on Utusan Malaysia.






