Belanjawan 2027 mesti naikkan gaji belia, bukan sekadar bantuan

LocalBusiness & Finance
9 Sep 2026 • 3:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Belanjawan 2027 mesti naikkan gaji belia, bukan sekadar bantuan
Joseph Ninting

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan lebih serius kepada peningkatan pendapatan golongan muda, bukan sekadar menambah bantuan bagi menangani tekanan kos sara hidup yang semakin membebankan.

Pertubuhan Transformasi Dayak (TRADA) berkata, cabaran golongan muda ketika ini bukan lagi sekadar kenaikan harga barang, sebaliknya kemampuan gaji dan peluang ekonomi untuk berkembang seiring kos membina kehidupan.

Presidennya, Joseph Ninting berkata, keadaan itu lebih membimbangkan apabila gaji median pekerja berusia 25 hingga 29 tahun dilaporkan menurun lima peratus daripada RM2,206 pada 2019 kepada RM2,095 pada 2024.

Menurutnya, kumpulan umur berkenaan merupakan satu-satunya kumpulan yang masih belum kembali ke paras gaji sebelum pandemik.

“Angka-angka ini menunjukkan satu cabaran yang lebih mendasar. Malaysia bukan sekadar memerlukan lebih banyak pekerjaan, tetapi pekerjaan yang lebih berkualiti, menawarkan gaji lebih baik serta laluan kerjaya yang jelas supaya golongan muda dapat meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, Belanjawan 2027 perlu mengubah pendekatan daripada sekadar mengukur kejayaan berdasarkan jumlah pekerjaan diwujudkan kepada penciptaan kerjaya bernilai tinggi dengan pendapatan lebih baik.

Katanya, insentif kerajaan khususnya kepada syarikat yang melabur di Sabah dan Sarawak perlu dikaitkan dengan tahap gaji, pengambilan pekerja tempatan, pemindahan kemahiran serta peluang kemajuan kerjaya.

Katanya, antara bidang yang dicadangkan termasuk kecerdasan buatan (AI), perkhidmatan digital, pembuatan termaju, tenaga boleh diperbaharui, kejuruteraan, pertanian moden dan industri bernilai tinggi.

“Sabah dan Sarawak tidak seharusnya hanya menjadi pembekal tenaga kerja kepada negeri-negeri lain.

“Kita perlu mewujudkan ekosistem yang membolehkan anak-anak muda Sabah dan Sarawak membina kerjaya yang canggih, berkemahiran tinggi dan bergaji lumayan di tanah air sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperluas geran, biasiswa dan pinjaman mudah bagi membolehkan golongan muda mengikuti latihan peningkatan kemahiran dan latihan semula dalam bidang seperti TVET, AI, analitik data, keselamatan siber, automasi, pembuatan termaju dan teknologi hijau.

"Kerajaan juga digesa memperkukuh kerjasama universiti, politeknik, institusi TVET dan industri bagi memastikan latihan berkaitan pekerjaan masa depan lebih mudah diakses golongan muda," katanya.

Bagi isu perumahan pula, beliau mencadangkan pendekatan lebih menyeluruh menerusi inisiatif “Rumah Pertama Belia” yang merangkumi penyediaan rumah mampu milik, skim sewa untuk milik, jaminan pembiayaan serta bantuan kos awal pemilikan rumah.

Menurutnya, langkah meningkatkan pendapatan perlu berjalan seiring usaha menangani kos sara hidup kerana subsidi dan bantuan bersasar tidak boleh menjadi penyelesaian jangka panjang.

Beliau turut memetik peningkatan harga makanan sebagai antara gambaran tekanan kos hidup apabila harga nasi lemak meningkat 81.3 peratus dan sate ayam 113.7 peratus antara 2011 hingga 2024, berbanding inflasi keseluruhan sebanyak 28.7 peratus.

Joseph berkata, matlamat jangka panjang kerajaan perlu memastikan kuasa pendapatan golongan muda meningkat lebih pantas daripada kos sara hidup.

“Golongan muda tidak meminta kerajaan menyelesaikan setiap masalah mereka. Apa yang mereka perlukan ialah kemahiran untuk bersaing, akses kepada modal, pekerjaan yang menawarkan gaji bermakna serta peluang realistik untuk memiliki rumah sendiri.

“Belanjawan 2027 perlu memberi peluang sebenar kepada golongan muda Malaysia, bukan sekadar untuk terus bertahan menghadapi kos sara hidup, tetapi untuk maju, mencapai kemakmuran dan membina masa depan mereka di negara ini,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved