amree07/09/2026 - 12:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Sept — Peningkatan bantuan tunai kerajaan menerusi Belanjawan 2027 berpotensi menjadi pemangkin baharu hasil 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad, dengan banyak perbelanjaan bantuan kos sara hidup dijangka mengalir kepada rangkaian kedai barangan keperluan harian itu, menurut AmInvestment Bank (AmInvest).
Firma itu menjangkakan kumpulan tersebut menjadi antara penerima manfaat utama sekiranya pembayaran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan, memandangkan rangkaiannya merangkumi kira-kira 21% daripada keseluruhan kedai yang layak menerima skim bantuan berkenaan.
Ia percaya bahagian perbelanjaan SARA yang disalurkan melalui kumpulan itu berpotensi melebihi 21%, disokong jumlah cawangan kedai yang semakin berkembang serta kedudukannya yang kukuh dalam segmen kedai serbaneka berasaskan barangan keperluan.
"Pasaran kini mungkin hanya mengambil kira peningkatan sederhana dalam pembayaran SARA, walaupun terdapat petunjuk berterusan bahawa subsidi dan bantuan kos sara hidup bakal menjadi antara tumpuan utama Belanjawan 2027," jelas AmInvest dalam notanya.
Pada masa sama, harga komoditi yang kekal tinggi berikutan risiko El Nino yang semakin menghampiri serta konflik Timur Tengah yang berpanjangan dijangka mengekalkan tekanan kos sara hidup, mendorong pengguna terus beralih kepada format peruncitan bernilai seperti 99 Speed Mart.
Ujarnya, kumpulan itu disifatkan sebagai syarikat defensif dengan prospek pertumbuhan yang berdaya tahan, walaupun 94% daripada kedainya berada dalam radius 3 kilometer antara satu sama lain dan kesan didapati jauh lebih kecil berbanding yang dijangka berdasarkan kepadatan rangkaiannya.

Tambah AmInvest, trend pengguna beralih kepada produk dan peruncit bernilai turut menyokong pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) kumpulan berkenaan, yang kekal positif pada kira-kira 7.8% bagi FY25 dan 9.1% pada 1HFY26.
"Kualiti margin 99 Speed Mart juga bertambah baik apabila program kecekapan utiliti baharu meningkatkan margin kasar 6MFY26 sebanyak 0.6 mata peratusan tahun ke tahun (YoY), manakala kerjasama dengan Midea berpotensi meningkatkan saiz bakul pembelian pelanggan," katanya.
Dalam pada itu, perniagaan 99 Bulksales berkembang 54% pada 6MFY26 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya dan berpotensi memberikan peningkatan margin tambahan sekiranya model berkenaan dapat dikembangkan pada skala lebih besar.
AmInvest turut melihat struktur pemegangan saham sebagai faktor yang menyokong daya tahan 99 Speed Mart terhadap risiko penurunan, apabila pegangan awam tidak termasuk pengurusan, kini susut kepada kurang 9% daripada sekitar 12% sebelum ini.
Susulan itu, ia memulakan semula liputan dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM4.25 sesaham, manakala pemangkin utama termasuk peningkatan bantuan tunai, perbelanjaan pengguna yang kekal berdaya tahan serta inisiatif peningkatan nilai yang boleh dikembangkan. - DagangNews.com






