
KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menawarkan insentif caruman padanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak 35 peratus kepada pekerja e-hailing dan p-hailing bermula tahun depan.
Insentif itu akan ditingkatkan kepada 50 peratus sekiranya syarikat platform turut menanggung caruman untuk pekerja berkenaan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut menyediakan insentif caruman padanan Perkeso sebanyak 70 peratus kepada lebih 200,000 individu bekerja sendiri dalam 17 sektor tidak mandatori.
“Kerajaan bersetuju menawarkan insentif caruman padanan Perkeso 35 peratus kepada pekerja e-hailing dan p-hailing.
“Insentif akan ditingkatkan kepada 50 peratus sekiranya syarikat platform turut menanggung caruman untuk pekerja,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menurut Anwar, pelepasan cukai Perkeso turut diperluaskan bagi meliputi caruman wajib di bawah Skim Lindung Kendiri.
Katanya, pelepasan tambahan sehingga RM150 turut diberikan bagi caruman sukarela Skim Lindung 24 Jam dan Lindung Kendiri.
Dalam usaha menggalakkan simpanan persaraan pekerja gig, kerajaan turut menawarkan insentif caruman padanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pemandu e-hailing dan p-hailing.
“Kerajaan menawarkan insentif caruman padanan KWSP sehingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup,” katanya.
Pada masa sama, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank menyediakan pembiayaan berjumlah RM270 juta kepada pekerja gig yang mahu memulakan perniagaan atau membeli rumah pertama.
Anwar berkata, kerajaan juga akan mengawal selia sektor p-hailing secara menyeluruh di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). – KOSMO! ONLINE
The post Belanjawan 2027: Pekerja e-hailing, p-hailing terima caruman padanan Perkeso sehingga 50 peratus appeared first on Kosmo Online.






