liza09/10/2026 - 17:22 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt – Kerajaan menerusi Lembaga Tabung Haji akan menanggung sepenuhnya caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi 40,000 petugas agama di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selain itu, kerajaan juga memperkenalkan insentif khas RM150 sebulan kepada 500 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang mendidik murid berkeperluan khas.
"Insentif khas itu diberikan kepada guru KAFA yang mendidik murid berkeperluan khas, termasuk menerusi penggunaan bahasa isyarat dan al-Quran Braille," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, peruntukan bagi hal ehwal Islam akan ditingkatkan kepada RM3.1 bilion berbanding RM2.6 bilion sebelum ini, mencerminkan peningkatan sebanyak RM500 juta.
Bagi memelihara keilmuan turath, kerajaan menubuhkan Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia dengan penglibatan tokoh ulama antarabangsa termasuk Syeikh Ali Gomaa dan Syeikh Idris al-Fasi.
Kerajaan turut memperkenalkan Sijil Turath Malaysia bagi menjamin kemampanan institusi pondok.
Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama menyediakan peranti serta latihan kemahiran digital kepada guru dan pelajar di lebih 300 sekolah pondok di seluruh negara.
Program Dakwah Kreatif turut diperkenalkan bagi menghasilkan kandungan dakwah yang segar, sahih dan dekat dengan generasi muda menerusi media digital, pempengaruh serta kecerdasan buatan (AI). - DagangNews.com






