'Belanjawan 2027 peluang terakhir kerajaan pastikan rakyat rasa manfaat' - Guan Eng

LocalPolitics
8 Oct 2026 • 3:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Belanjawan 2027 peluang terakhir kerajaan pastikan rakyat rasa manfaat' - Guan Eng
Guan Eng (depan, tengah) pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadang menaikkan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 dalam Belanjawan 2027 yang dilihat sebagai peluang terakhir Kerajaan Madani untuk memastikan manfaatnya benar-benar dirasai rakyat.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, langkah berkenaan penting khususnya bagi pembayar cukai kumpulan M40 yang selama ini berasakan mereka tidak mendapat manfaat secukupnya daripada belanjawan kerajaan.

“Selama ini ramai rakyat khususnya pembayar cukai M40 rasa bahawa mereka tidak mendapat manfaat daripada belanjawan.

“Jadi kami ingin mencadangkan supaya untuk setiap pembayar cukai individu, pelepasan cukai harus dinaikkan sebanyak RM3,000 iaitu daripada RM9,000 sekarang kepada RM12,000,” katanya pada sidang akhbar bersama beberapa ahli Parlimen DAP di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu, Anwar berkata pertumbuhan ekonomi sahaja tidak mencukupi ketika rakyat terus berdepan tekanan kos sara hidup.

Beliau juga memberi jaminan bahawa Belanjawan 2027 akan meringankan beban mereka dan memastikan hasil pembangunan dinikmati secara lebih saksama.

Guan Eng yang juga Penasihat DAP berkata, kadar pelepasan cukai itu wajar disemak semula selepas mengambil kira perubahan kos sara hidup dan nilai wang sejak ia ditetapkan pada 2010.

“Selama 17 tahun ini kalau kita mengambil kira kenaikan inflasi, RM9,000 pada 2010 sudah bersamaan dengan kira-kira RM12,000 sekarang jadi adalah perlu untuk pelepasan cukai ini dinaikkan.

“Pada masa sama kami berharap potongan cukai untuk individu bagi sektor pendidikan dan juga kesihatan harus dinaikkan RM1,000. Itu untuk menjaga anak-anak muda kita,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan meneliti semula pengenaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus terhadap bayaran kepada rumah penjagaan warga emas swasta.

Menurutnya, pengenaan cukai berkenaan menambah beban kepada keluarga yang terpaksa menghantar ibu bapa ke pusat penjagaan swasta kerana tidak mampu menguruskan mereka di rumah.

“Ada yang tak mampu jaga ibu bapa dalam rumah, hantar kepada rumah orang tua swasta dan bayaran fi bulanan mulai September lalu dikenakan SST lapan peratus.

“Ini tidak harus dikenakan kerana ini memang kos untuk menjaga orang-orang tua kita, ibu bapa kita. Kita harap ini boleh dipertimbangkan semula,” katanya.

Menurut Guan Eng, cadangan berkenaan termasuk perkara berkaitan pelepasan dan potongan cukai telah dikemukakan kepada Anwar yang juga Menteri Kewangan.

“Kami sudah kemukakan perkara ini kepada Perdana Menteri dan harap mesyuarat Kabinet esok yang akan bersidang sebelum (pembentangan) Belanjawan 2027 boleh mempertimbangkan semula perkara-perkara ini,” kata beliau.

Guan Eng menegaskan, Belanjawan 2027 perlu dimanfaatkan sebaiknya kerana rakyat dijangka tidak mempunyai tempoh yang mencukupi untuk merasai kesan Belanjawan 2028 yang akan dibentangkan tahun depan.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan Belanjawan 2027 menjadi peluang penting bagi Kerajaan Madani untuk memastikan langkah yang diumumkan memberi kesan yang boleh dirasai rakyat.

“Kalau tidak saya bimbang ini mungkin peluang terakhir untuk Kerajaan Madani menunjukkan manfaat yang boleh diterima oleh rakyat.

“Tahun depan kami yakin Perdana Menteri akan bentangkan belanjawan sekali lagi iaitu belanjawan terakhir (penggal pentadbiran) untuk 2028, tapi (untuk rasai) kesannya saya rasa tak cukup masa,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved