'Belanjawan 2027 perlu perkukuh kuasa beli rakyat'

LocalBusiness & Finance
8 Oct 2026 • 9:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Belanjawan 2027 perlu perkukuh kuasa beli rakyat'
Mohd Faisol (gambar kecil) berkata, kerajaan perlu meningkatkan pendapatan rakyat supaya kenaikan gaji dan upah benar-benar memberi manfaat kepada mereka. Foto hiasan

BELANJAWAN 2027 perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kemampuan kewangan rakyat dengan memastikan peningkatan pendapatan tidak terhakis akibat kenaikan harga barangan, selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, peningkatan pendapatan perlu menjadi antara keutamaan kerajaan supaya kenaikan gaji dan upah benar-benar memberi kesan kepada keupayaan rakyat memenuhi keperluan harian.

Menurutnya, usaha itu perlu bergerak seiring dengan kawalan harga barangan asas dan penting supaya peningkatan pendapatan tidak kembali terhakis akibat kenaikan kos sara hidup.

“Kerajaan perlu meningkatkan pendapatan rakyat supaya kenaikan gaji dan upah benar-benar memberi manfaat kepada mereka.

“Pada masa sama, kawalan terhadap harga barangan asas dan penting perlu diperkukuhkan supaya kenaikan gaji tidak terhakis akibat manipulasi harga oleh pengeluar atau pihak ketiga yang mahu mengaut keuntungan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga boleh mempertimbangkan pelepasan cukai pendapatan yang meliputi perbelanjaan pendidikan dan kesihatan bagi memberi lebih banyak ruang kepada rakyat meningkatkan pendapatan boleh guna.

“Pelepasan cukai pendapatan yang merangkumi pendidikan dan kesihatan perlu dipertimbangkan supaya rakyat mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Faisol berkata, peningkatan pendapatan perlu disokong dengan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan yang selari dengan kelayakan graduan universiti.

Katanya, langkah itu penting bagi mengurangkan pengangguran, meningkatkan guna tenaga berkualiti serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Dalam konteks Belanjawan 2027, kenaikan gaji minimum pada kadar yang bersesuaian boleh dipertimbangkan sebagai antara ‘buah tangan’ kepada rakyat tanpa memberi tekanan besar kepada kedudukan fiskal kerajaan.

“Langkah ini bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kemampuan berbelanja, malah berpotensi mengukuhkan kitaran ekonomi kerana peningkatan gaji minimum akan meningkatkan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekali gus memberi manfaat kepada pekerja dan KWSP dalam tempoh pendek serta jangka panjang,” katanya.

Pada masa sama, subsidi bersasar perlu diperkasakan supaya penjimatan yang diperoleh kerajaan dapat disalurkan semula kepada rakyat dalam skala lebih besar.

“Subsidi bersasar juga perlu diperkasakan supaya penjimatan yang diperoleh kerajaan dapat disalurkan semula kepada rakyat dalam skala yang lebih besar, sekali gus meningkatkan pendapatan boleh guna mereka,” katanya.

Mohd Faisol turut berpandangan perlindungan kepada pekerja yang terdedah kepada risiko kemalangan, khususnya pekerja gig dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), perlu diperkasakan bagi menyokong kestabilan ekonomi.

Selain itu, usaha meningkatkan pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam industri berteknologi tinggi perlu diberi perhatian menerusi sokongan pembiayaan dan pendidikan.

Bagi mengurangkan beban perbelanjaan harian, Mohd Faisol mencadangkan kemudahan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja diperluas kepada sektor swasta dengan kadar yang bersesuaian mengikut tahap pendapatan pekerja.

“Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos dan masa yang ditanggung pekerja, malah berpotensi meningkatkan produktiviti mereka,” katanya.

Beliau turut mencadangkan fleksibiliti kerja diperluas dan tidak hanya terhad pada hari tertentu supaya pekerja dapat mengurangkan kos pengangkutan serta perbelanjaan berkaitan pekerjaan.

Kerajaan juga boleh memperluas jenis barangan yang boleh digunakan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) supaya bantuan yang disalurkan lebih bersasar dan memberi manfaat kepada penerima.

Dalam memastikan setiap peruntukan memberi impak yang lebih jelas, Mohd Faisol berkata, sudah tiba masanya kerajaan memberi lebih penekanan kepada intervensi bersasar dalam Belanjawan 2027.

“Pendekatan itu membolehkan impak dan keberkesanan peruntukan dinilai dengan lebih tepat, selain membantu mengelakkan pembaziran serta meminimumkan kebocoran dan ketirisan,” katanya.

Menurutnya, pendekatan tersebut penting supaya manfaat Belanjawan 2027 bukan sekadar memberi kelegaan dalam tempoh singkat, sebaliknya membantu memperkukuh kedudukan kewangan rakyat secara lebih berterusan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved