
KUALA LUMPUR - Pemandu yang menyebabkan kemalangan ketika berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah bakal diwajibkan membayar pampasan kepada mangsa menerusi cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan.
Ia selaras usaha kerajaan membendung kemalangan maut dan meningkatkan keselamatan jalan raya.
Sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 28 kes kemalangan maut direkodkan membabitkan pemandu yang disyaki berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Antara insiden terbaharu ialah kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Temerloh, pada malam sambutan Hari Kebangsaan yang meragut empat nyawa, termasuk sepasang suami isteri dan anak mereka yang masih kecil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan turut merancang mewajibkan pemasangan sistem telematik pada kenderaan perdagangan bagi memantau kelajuan, lokasi serta tingkah laku pemanduan berisiko.
Sistem itu akan dihubungkan dengan peranti pengesan alkohol bagi memeriksa keadaan pemandu sebelum mereka memulakan perjalanan.
Pelaksanaan secara sukarela akan diteruskan sehingga 2027 sementara kerajaan membangunkan pangkalan data pemandu bagi menyokong tindakan penguatkuasaan.
Dalam pada itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menyediakan baucar saringan kesihatan kepada pemandu kenderaan perdagangan bagi mengenal pasti risiko kesihatan yang boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk memandu dengan selamat.
Bagi pengangkutan awam, pas perjalanan My50 akan diteruskan untuk 300,000 pengguna perkhidmatan bas dan rel kendalian Prasarana di Lembah Klang.
Kerajaan turut memperkenalkan pas MyKomuter50 untuk 40,000 penumpang KTM Komuter, yang dijangka membolehkan pengguna menjimatkan sehingga RM160 sebulan secara purata.
Pas perjalanan percuma juga akan disediakan kepada 360,000 murid sekolah, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak berusia bawah enam tahun.
Kerajaan turut mengarahkan Prasarana dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan tren, susulan gangguan berulang yang menjejaskan perjalanan penumpang.
Sebagai langkah jangka panjang, Prasarana akan melabur lebih RM3.4 bilion menerusi program pemulihan perkhidmatan rel secara menyeluruh.
Kerajaan juga akan memperoleh 42 set tren baharu bagi perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Komuter.
Sementara itu, Fasa Satu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang menghubungkan Kota Bharu dengan Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak, dijangka mula beroperasi pada Disember ini.
Malaysia dan China turut bersetuju melanjutkan jajaran ECRL ke Rantau Panjang dan sebuah stesen bas juga akan dibina di stesen ECRL Kota Bharu, bagi memudahkan akses penduduk Kelantan kepada perkhidmatan berkenaan.
Sebanyak RM270 juta lagi diperuntukkan bagi memperluas perkhidmatan bas henti-henti di bandar utama, termasuk menyediakan sambungan ke 15 stesen di Pantai Timur menjelang pembukaan ECRL.
Bagi meningkatkan kemudahan akses ke pelabuhan dan lapangan terbang, kerajaan bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan menyediakan RM1.1 bilion untuk menaik taraf jalan raya di kawasan berkenaan.
Antara lokasi yang terlibat ialah Kota Kinabalu, Miri, Tawau, Sandakan dan Pulau Pinang, selain lapangan terbang pendek berlepas dan mendarat (STOLport) di Long Banga serta Ba’Kelalan, Sarawak.
Dalam usaha mempercepat kerja penyelenggaraan jalan, peruntukan kepada jurutera daerah bagi melaksanakan pembaikan berskala kecil, termasuk menampal lubang jalan, akan dinaikkan kepada RM40 juta.
Kerajaan turut menyediakan RM2.5 bilion bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan, termasuk hampir RM800 juta yang dikhususkan untuk kontraktor G1 hingga G4.
Selain itu, RM5.7 bilion akan disalurkan menerusi Kumpulan Wang Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi membaik pulih jalan negeri.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula akan membina 15 hentian motosikal, memasang 70 kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang lebuh raya PLUS serta menyediakan 50 kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) di lokasi strategik. - Getaran, 9 Oktober 2026





