
PETALING JAYA – Kerajaan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi mewajibkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah untuk membayar pampasan kepada mangsa.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan adalah sebagai langkah tegas dilaksanakan oleh kerajaan.
“Pada malam Hari Kebangsaan lalu, seramai empat orang maut termasuk sepasang suami isteri dan anak kecil mereka, dalam nahas di LPT1, Temerloh. Setakat Ogos tahun ini, sebanyak 28 kes maut akibat pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah.
“Tragedi seumpama ini menyentak sanubari kita, bahawa walaupun penguatkuasaan telah diperketat, namun pelanggaran peraturan masih lagi membimbangkan,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen hari ini.
Beliau berkata, dalam masa sama, sistem telematik akan diwajibkan untuk dipasang di kenderaan perdagangan bagi memantau kelajuan, lokasi dan corak pemanduan berisiko, termasuk menghubungkan dengan alat pengesan alkohol sebelum pemandu memulakan perjalanan.
“Pelaksanaan sukarela dibuat hingga 2027, sementara kerajaan sedang membangunkan pangkalan data pemandu untuk penguatkuasaan.
“Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pula akan menyediakan baucar pemeriksaan kesihatan kepada pemandu kenderaan perdagangan bagi mengesan risiko
kesihatan yang boleh menjejaskan keupayaan memandu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Belanjawan 2027: Pemandu mabuk, lalok dadah bayar pampasan kepada mangsa appeared first on Kosmo Online.





