sarah09/10/2026 - 16:42 Gambar hiasan GETTY IMAGES Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt -- Kerajaan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi mewajibkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa sebagai langkah memperketat tindakan terhadap kesalahan jalan raya.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil susulan kejadian kemalangan maut yang masih membimbangkan walaupun penguatkuasaan telah diperketat.
Beliau berkata, sebanyak 28 kes kematian akibat pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah direkodkan setakat Ogos 2026.
Anwar turut merujuk nahas di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Temerloh, pada malam Hari Kebangsaan lalu yang mengorbankan empat orang, termasuk sepasang suami isteri dan anak kecil mereka.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen.
Dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya, kerajaan akan mewajibkan pemasangan sistem telematik pada kenderaan perdagangan bagi memantau kelajuan, lokasi dan corak pemanduan berisiko, termasuk menghubungkannya dengan alat pengesan alkohol sebelum perjalanan dimulakan.
Pelaksanaan secara sukarela akan diteruskan sehingga 2027 sementara kerajaan membangunkan pangkalan data pemandu bagi tujuan penguatkuasaan.
Selain itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menyediakan baucar pemeriksaan kesihatan kepada pemandu kenderaan perdagangan bagi mengesan risiko kesihatan yang boleh menjejaskan keupayaan memandu.
Dalam perkembangan berkaitan, peruntukan bagi mempercepat pelaksanaan projek kecil jalan raya, termasuk membaiki jalan berlubang, dinaikkan kepada RM40 juta menerusi pengukuhan peranan Jurutera Daerah.
Kerajaan turut menyediakan RM2.5 bilion untuk penyelenggaraan Jalan Persekutuan, termasuk hampir RM800 juta khusus kepada kontraktor G1 hingga G4, manakala jalan negeri akan dibaiki menggunakan dana Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) berjumlah RM5.7 bilion.
Lembaga Lebuhraya Malaysia pula akan membina 15 tempat berteduh motosikal, memasang 70 kamera litar tertutup (CCTV) di lebuh raya PLUS dan menyediakan 50 kemudahan pengecasan kenderaan elektrik di lokasi strategik.- DagangNews.com






