Belanjawan 2027: Penjawat awam terima bantuan khas RM1500, pesara RM750

LocalPolitics
9 Oct 2026 • 5:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2027: Penjawat awam terima bantuan khas RM1500, pesara RM750 Image from: Belanjawan 2027: Penjawat awam terima bantuan khas RM1500, pesara RM750 sarah09/10/2026 - 17:34 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Okt -- Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred Utama B dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak, menerusi Belanjawan 2027.

 

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan RM750 turut diberikan kepada lebih satu juta pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.

 

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen.

 

Pembayaran bantuan khas itu akan dibuat dalam dua kali bayaran, iaitu sebelum Aidilfitri dan sempena ambang tujuh dasawarsa kemerdekaan.

 

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan memperuntukkan RM2.3 bilion bagi pembinaan dan penyelenggaraan kuarters penjawat awam, termasuk untuk anggota polis, doktor, tentera, guru dan bomba.

 

Anwar berkata, Rumah Keluarga Angkatan Tentera akan dibina di Skudai, Johor, manakala kuarters baharu turut dibangunkan di Depot Tahanan Imigresen Langkap, Perak dan Papar, Sabah. Projek bernilai lebih RM500 juta itu dijangka memanfaatkan hampir 900 anggota.

 

Kerajaan turut menaikkan elaun anggota sukarelawan RELA, Bomba Bantuan, Sukarelawan Polis dan Sukarelawan Pertahanan Awam kepada RM9 sejam bagi petugas sukarelawan serta RM10.80 sejam bagi penyelia, dengan peruntukan RM339 juta untuk hampir 50,000 sukarelawan.

 

Selain itu, bayaran faedah Ex-Gratia Waris Pukal secara sekali bayar dinaikkan daripada RM20,000 kepada maksimum RM50,000, tertakluk pada tempoh perkhidmatan.

 

Kerajaan juga bersetuju melaksanakan kenaikan pangkat sekali bayar secara Khas Untuk Penyandang kepada 12,000 pegawai kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) yang menunggu kenaikan pangkat berikutan kekangan jawatan.

 

Sementara itu, kelayakan cuti bersalin sepanjang tempoh perkhidmatan ditingkatkan daripada 360 hari kepada 490 hari, dengan had maksimum 98 hari bagi setiap kelahiran. Kerajaan turut menyediakan RM20 juta untuk menambah baik pusat penjagaan anak di fasiliti kerajaan.

 

Kadar pencen minimum juga dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan, yang dijangka memanfaatkan hampir 59,000 pesara, veteran Angkatan Tentera Malaysia dan penerima pencen terbitan.

 

Pada masa yang sama, Kerajaan bersetuju menyalurkan sumbangan khas sebanyak RM750 kepada 70,000 individu merangkumi guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut sebagai penghargaan terhadap jasa serta sumbangan mereka kepada masyarakat.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved