
KUALA LUMPUR – Pendapatan bersih pemandu e-hailing pada tahap median dijangka meningkat sehingga RM227 sebulan menerusi pakej bernilai RM160 juta yang akan dilaksanakan bermula tahun depan.
Bagi penghantar p-hailing pula, pendapatan bersih mereka dijangka meningkat sehingga RM100 sebulan menerusi pakej yang dibiayai bersama kerajaan dan Grab itu.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan pendapatan bersih selain menambah baik kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing.
“Kerajaan dan pihak Grab bersetuju untuk membiayai bersama satu pakej bernilai RM160 juta bertujuan untuk meningkatkan pendapatan bersih dan menambah baik kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing, bermula 2027.
“Pakej ini meliputi peningkatan kadar pendapatan minimum bagi pekerja e-hailing dan p-hailing, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans serta caruman Perkeso,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menurut Anwar, kira-kira 600,000 rakyat ketika ini mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.
Katanya, kerajaan akan menyediakan perlindungan lebih menyeluruh bagi menjaga kebajikan golongan pekerja gig berkenaan.
“Ini bermakna, pendapatan bersih untuk pemandu e-hailing pada tahap median dijangka meningkat sehingga RM227 sebulan.
“Manakala pendapatan penghantar p-hailing meningkat sehingga RM100 sebulan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Majlis Perundingan Gig kini dalam peringkat rundingan bagi menetapkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan serta standard minimum perlindungan sosial untuk pekerja gig.
Katanya, ketetapan berhubung perkara itu dijangka dimuktamadkan pada awal 2027.– KOSMO! ONLINE
The post Belanjawan 2027: Pendapatan pemandu e-hailing naik sehingga RM227 sebulan appeared first on Kosmo Online.





