
PETALING JAYA: Pengukuhan keselamatan siber, perlindungan data dan pertahanan infrastruktur kritikal perlu menjadi keutamaan dalam memastikan daya tahan ekonomi digital Malaysia, kata TrendAI Malaysia.
Pengarah Urusannya, Goh Chee Hoh berkata, komitmen kerajaan menerusi Belanjawan 2027 untuk memperkukuh aspek berkenaan mencerminkan pengiktirafan terhadap kepentingannya sebagai tonggak utama keselamatan negara.
Beliau berkata, inisiatif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memajukan teknologi perlindungan data tempatan turut mencerminkan strategi berpandangan jauh bagi melindungi kedaulatan digital negara daripada ancaman generasi baharu.
“Kami mengakui bahawa usaha mencapai perlindungan ancaman secara proaktif dan daya tahan ekonomi jangka panjang memerlukan komitmen bersama seluruh ekosistem digital, yang menyatukan kepimpinan kerajaan, pengendali sektor kritikal dan rakan industri.
“Penekanan kerajaan terhadap perlindungan 11 sektor Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) serta usaha membanteras penipuan dalam talian menunjukkan peralihan jelas daripada pendekatan pertahanan reaktif kepada pencegahan ancaman secara proaktif,” katanya dalam kenyataan.
Chee Hoh berkata, ketika organisasi melaksanakan Akta Keselamatan Siber 2024, pematuhan teguh terhadap keperluan seperti penilaian risiko mandatori dan pelaporan insiden secara masa nyata amat penting bagi mengekalkan kestabilan kewangan dan operasi negara secara menyeluruh.
“Dengan menerapkan daya tahan keselamatan siber dalam kerangka keselamatan negara yang lebih luas, kita dapat melindungi aspirasi digital Malaysia di peringkat serantau dan global.
“TrendAI kekal komited sepenuhnya untuk melindungi transformasi digital Malaysia melalui perisikan ancaman termaju, pengurusan risiko secara proaktif serta penjajaran rapat dengan dasar kerajaan bagi memperkukuh tadbir urus keselamatan siber negara,” jelasnya. – UTUSAN
The post Belanjawan 2027 perkukuh keselamatan siber, perlindungan data appeared first on Utusan Malaysia.






