KUALA LUMPUR - Peruntukan berjumlah RM22 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Belanjawan Madani 2027 mencerminkan tekad kukuh kerajaan untuk menjadikan keamanan dan ketenteraman awam sebagai keutamaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peruntukan untuk kebajikan, memperkukuh aset keselamatan, meningkatkan keupayaan kawalan sempadan dan memanfaatkan teknologi bagi membanteras jenayah menunjukkan bahawa keselamatan rakyat serta kedaulatan negara tidak boleh dikompromi.
“Negara yang aman memberi keyakinan kepada rakyat untuk menjalani kehidupan dengan tenteram, di samping mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk perniagaan, pelaburan dan pelancongan.
“Keamanan dan ketenteraman awam ialah asas kepada kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, ketika membentangkan Belanjawan 2027, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KDN dan Kementerian Pertahanan (Mindef) masing-masing bakal menerima peruntukan sebanyak RM22 bilion.
Anwar berkata, sebanyak RM7.1 bilion daripadanya dikhususkan untuk membeli dan menyelenggara aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta badan beruniform lain di bawah KDN.
Saifuddin menegaskan, secara keseluruhannya Belanjawan 2027 bukan sahaja menjamin keselamatan dan ketenteraman awam bahkan memperlihatkan komitmen Kerajaan Madani untuk memastikan pembangunan negara membawa manfaat nyata kepada rakyat dan memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran global.
“Kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan. Pelaburan dalam kemudahan kesihatan, bantuan pengangkutan awam dan pembangunan kemahiran serta peluang pekerjaan membuktikan bahawa kemajuan negara mesti dirasai oleh rakyat.
“Ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan sekadar jumlah peruntukan, tetapi sejauh mana ia membantu meringankan beban kehidupan dan meningkatkan kesejahteraan keluarga Malaysia,” ujarnya.
Menurutnya, selain itu, prestasi pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan pelaburan yang dinyatakan dalam pembentangan belanjawan memberikan asas keyakinan terhadap kedudukan ekonomi Malaysia.
Namun, katanya, kejayaan itu mesti diterjemahkan kepada lebih banyak pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan, peluang perniagaan dan kos sara hidup yang lebih terkawal.
“Kesimpulannya, Belanjawan 2027 membawa mesej yang jelas iaitu rakyat mesti dibela, negara mesti aman dan ekonomi mesti terus diperkukuh.
“Ketiga-tiga tonggak ini saling melengkapi. Kebajikan tanpa kestabilan sukar dipertahankan; keamanan tanpa kemakmuran tidak mencukupi; manakala pertumbuhan ekonomi tanpa manfaat yang dirasai rakyat belum mencapai matlamat sebenar pembangunan,” kata beliau.
Ujar beliau, cabaran menanti ialah untuk memastikan setiap peruntukan dilaksanakan dengan cekap, telus dan berkesan supaya hasilnya benar-benar sampai kepada rakyat sekali gus menjadi asas membina Malaysia yang lebih sejahtera, selamat serta berdaya saing.






