Belanjawan 2027 perkukuh prospek Orkim, penjimatan kos dua kapal baharu cecah RM700,000 - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 9:42 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2027 perkukuh prospek Orkim, penjimatan kos dua kapal baharu cecah RM700,000 - Penganalisis Image from: Belanjawan 2027 perkukuh prospek Orkim, penjimatan kos dua kapal baharu cecah RM700,000 - Penganalisis hamden12/10/2026 - 09:42 Gambar arkib kapal Orkim Jade yang dalam pembinaan dan dijangka diserahkan pada 2027. Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt – Belanjawan 2027 dijangka memberi kesan positif kepada Orkim Bhd menerusi pelanjutan pengecualian penuh cukai pendapatan syarikat perkapalan Malaysia sehingga 2036 serta pengurangan kos pembiayaan bagi pengembangan armadanya, menurut penganalisis pasaran.

 

BIMB Securities Research (BIMB Securities) berkata, kedua-dua langkah itu mengukuhkan daya tahan pendapatan Orkim dalam jangka panjang, selain meningkatkan kepastian dasar dan mengurangkan kos awal pembiayaan kapal baharu.

 

Katanya, antara manfaat langsung yang dikenal pasti ialah potensi penjimatan duti setem sebanyak RM600,000 hingga RM700,000 bagi dua kapal baharu Orkim, iaitu Orkim Jade dan Orkim Ruby, yang dijadualkan diserahkan pada 2027.

 

"Penjimatan itu berikutan pengenalan kadar duti setem tetap sebanyak RM2,000 bagi pinjaman sehingga RM100 juta dan RM5,000 bagi pinjaman melebihi RM100 juta untuk membiayai pembelian atau pembinaan kapal Malaysia.

 

"Kadar baharu itu jauh lebih rendah berbanding kadar semasa sebanyak 0.5% daripada jumlah pinjaman, sekali gus berpotensi mengurangkan kos pembiayaan awal bagi pengembangan armada syarikat perkapalan tempatan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dalam pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan melanjutkan pengecualian penuh cukai pendapatan bagi syarikat perkapalan Malaysia sehingga tahun taksiran 2036 dan kadar duti setem tetap pinjaman bagi membiayai pembelian atau pembinaan kapal.

 

Menurut BIMB Securities, dengan andaian kedua-dua kapal dibiayai menerusi pinjaman bertempoh yang merangkumi sekitar 80% hingga 90% daripada harga pembelian, penjimatan duti setem berkenaan dianggarkan mencecah RM700,000.

 

Bagaimanapun, jumlah sebenar penjimatan masih tertakluk kepada struktur pembiayaan akhir, syarat kelayakan serta pengesahan layanan duti setem yang berkenaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penjimatan tersebut mewakili impak sekitar 0.7% terhadap keuntungan bersih teras Orkim.

 

Pelanjutan pengecualian cukai tingkat kepastian pendapatan

Dalam Belanjawan 2027 yang diumumkan pada 9 Oktober lalu, kerajaan melanjutkan pengecualian penuh cukai pendapatan bagi syarikat perkapalan Malaysia sehingga tahun taksiran 2036.

 

Walaupun pelanjutan selama 10 tahun itu tidak memenuhi permintaan industri untuk pengecualian cukai kekal, langkah berkenaan tetap dianggap positif berbanding pendekatan terdahulu yang memerlukan insentif itu diperbaharui setiap dua tahun.

 

Tempoh pengecualian yang lebih panjang memberikan kepastian kawal selia, meningkatkan keterlihatan aliran tunai selepas cukai dan mengurangkan risiko ketidaktentuan dasar akibat pembaharuan insentif secara berkala.

 

Bagaimanapun, langkah itu tidak mengubah unjuran pendapatan firma penyelidikan berkenaan kerana pelanjutan pengecualian cukai 100% selepas tempoh semasanya berakhir pada Disember 2026 telah pun diambil kira dalam unjuran mereka.

 

Kekalkan saranan BELI, harga sasaran RM1.05

Sehubungan itu BIMB Securities mengekalkan saranan BELI terhadap Orkim dengan harga sasaran berasaskan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF) tidak berubah pada RM1.05, yang menyiratkan gandaan nilai perusahaan kepada EBITDA (EV/EBITDA) FY2026 sebanyak 7.1 kali.

 

Dari segi unjuran kewangan, firma itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap ramalan pendapatan Orkim susulan langkah Belanjawan 2027 berkenaan.

 

Sementara itu RHB Research berkata, Belanjawan 2027 memberikan kejelasan lebih baik terhadap prospek cukai Orkim serta menghapuskan ketidaktentuan berhubung kesinambungan insentif berkenaan.

 

"Kami menjangkakan kadar cukai efektif kumpulan itu kekal pada paras satu digit rendah, sekitar 2%, tertakluk kepada pematuhan berterusan terhadap syarat kelayakan yang berkaitan.

 

"Langkah ini sepatutnya menyokong keterlihatan keuntungan selepas cukai serta mengurangkan ketidaktentuan yang berkaitan dengan andaian cukai dalam unjuran kami," katanya dalam nota penyelidikan hari ini. 

 

 

Tiada perubahan terhadap unjuran pendapatan atau penilaian dengan RHB Research mengekalkan saranan BELI terhadap Orkim dengan harga sasaran RM1.14, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 12 kali bagi tahun kewangan 2027 yang diunjurkan (FY27F), selaras dengan purata wajaran P/E syarikat setara.

 

"Kami kekal positif terhadap prospek Orkim, disokong kedudukan peneraju pasaran, pulangan atas ekuiti (ROE) melebihi 13%, margin EBITDA melebihi 50%, serta keuntungan dan penjanaan aliran tunai yang berdaya tahan.

 

"Penilaian kami turut mengekalkan diskaun alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pada 0%, mencerminkan skor ESG kumpulan sebanyak 3.0, setara dengan median negara," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved