Kerajaan perlu tangani kos pembangunan, perluas insentif pemilikan rumah – Rehda

Business & Finance
12 Oct 2026 • 6:13 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan perlu tangani kos pembangunan, perluas insentif pemilikan rumah – Rehda

PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menggesa kerajaan mengambil langkah lebih menyeluruh bagi menangani peningkatan kos pembangunan dan memastikan rumah kekal mampu dimiliki rakyat meskipun beberapa inisiatif sokongan diumumkan dalam Belanjawan 2027.

Presidennya, Datuk Zaini Yusoff berkata, pihaknya menyambut baik peluasan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama kerana langkah itu dapat mengurangkan beban kewangan awal ketika membeli kediaman.

Katanya, pengecualian penuh duti setem bagi surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman untuk hartanah berharga sehingga RM500,000 serta pengecualian bagi hartanah sehingga RM750,000 merupakan langkah positif dalam membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri.

“Bagaimanapun, kami berharap kerajaan terus mengkaji semula had kelayakan insentif berkenaan berdasarkan perkembangan harga rumah dan keadaan pasaran semasa, termasuk mempertimbangkan peluasan pengecualian kepada hartanah berharga sehingga RM1 juta,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, usaha meningkatkan kemampuan pemilikan rumah tidak seharusnya tertumpu kepada bantuan pembeli semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira kos yang ditanggung pemaju dalam menyediakan kediaman.

“Kami juga turut menyambut baik pengecualian duti setem bagi pemulihan projek perumahan terbengkalai yang dijangka memudahkan usaha menghidupkan semula projek berkenaan serta membantu pembeli yang terjejas.

“Selain itu, jaminan pembiayaan perumahan berjumlah RM20 bilion di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 80,000 pembeli rumah pertama, khususnya golongan berpendapatan tidak tetap yang berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan,” katanya.

Zaini berkata, akses kepada pembiayaan akhir merupakan aspek penting dalam membantu bakal pembeli mengatasi kekangan mendapatkan pinjaman perumahan.

Dalam pada itu, beliau berkata, komitmen kerajaan terhadap penyediaan rumah mampu milik sebagai perkembangan positif, termasuk peruntukan hampir RM1 bilion bagi program Rumah Mesra Rakyat dan Program Residensi Rakyat.

“Inisiatif pembangunan perumahan mampu milik oleh Petronas serta Bandar 1 Madani Bukit Jalil turut mencerminkan usaha memperluas peluang pemilikan rumah, terutama bagi golongan berpendapatan rendah.

“Bagaimanapun, Rehda kekal bimbang terhadap peningkatan kos pembangunan, khususnya harga bahan binaan, kos tenaga kerja serta perbelanjaan berkaitan pematuhan peraturan yang boleh memberi tekanan kepada usaha menyediakan rumah pada harga berpatutan.

“Sehubungan itu, persatuan berkenaan menggesa kerajaan mengkaji semula pelbagai caj yang dikenakan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri, termasuk caj infrastruktur, utiliti, statutori, kawal selia dan pematuhan,” katanya.

Menurut Zaini, kos berkenaan terus menjadi cabaran kepada pemaju dalam usaha mengimbangi daya maju pembangunan dengan keperluan menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat.

Beliau berkata, Rehda turut berharap kerajaan mempertimbangkan untuk menghidupkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC), khususnya bagi membantu penjualan rumah siap yang masih belum terjual, selain memberi lebih banyak peluang kepada rakyat untuk memiliki kediaman sendiri.

Tambahnya, Rehda mengalu-alukan pelanjutan Elaun Cukai Pelaburan sehingga 100 peratus bagi projek dan aset teknologi hijau yang layak sehingga 31 Disember 2030.

“Insentif itu dijangka menggalakkan lebih banyak pemaju mengamalkan pembangunan mampan, khususnya syarikat berskala kecil yang berdepan kos pelaksanaan teknologi hijau lebih tinggi.

“Kami menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan industri perumahan dapat menyediakan kediaman berkualiti, mampu milik dan mampan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

The post Kerajaan perlu tangani kos pembangunan, perluas insentif pemilikan rumah – Rehda appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved