
PETALING JAYA: Kerajaan perlu memastikan pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat menerusi Belanjawan 2027, terutama bagi golongan yang masih belum merasai manfaatnya.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, prestasi makroekonomi negara ketika ini berada pada kedudukan baik, namun pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat.
“Pertumbuhan mesti dinikmati secara saksama. Bagi yang belum merasainya, insya-Allah kita dapat atasi isu ini melalui belanjawan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hab Komuniti Pandan di sini, hari ini.
Beliau berkata, perkara tersebut turut dibincangkan bersama Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengenal pasti keperluan yang perlu diberi perhatian.
Jelasnya, masih terdapat ruang untuk memperkemas inisiatif ekonomi kerajaan menerusi sesi libat urus bersama rakyat, khususnya peniaga kecil dan pemain industri.
Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata, penyertaan Malaysia dalam BRICS sebagai negara rakan tidak bermakna negara terikat dengan mana-mana blok geopolitik.
Beliau berkata, Malaysia kekal dengan pendekatan terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak, selaras dengan Dasar Luar MADANI yang menekankan diplomasi aktif dan pragmatik.
“Kita hadir sebagai negara rakan BRICS kali ini, bukan ahli penuh lagi, jadi tidak ada isu keterikatan blok,” katanya.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, BRICS juga perlu dilihat sebagai peluang ekonomi dan bukan semata-mata dari sudut geopolitik, khususnya dari segi ruang kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, tenaga dan teknologi.
“Pendekatan Malaysia untuk bekerjasama dengan semua pihak bukan perkara baharu, sebaliknya menjadi prinsip dasar luar negara sejak merdeka kerana kerajaan tidak pernah meletakkan semua kepentingan dalam satu bakul geopolitik,” katanya. – UTUSAN
The post Belanjawan 2027 perlu pastikan pertumbuhan ekonomi dinikmati rakyat appeared first on Utusan Malaysia.






