
KUALA LUMPUR: UMNO perlu memahami perubahan politik negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) ketika kekuatan politik sedang disusun semula dan pola sokongan rakyat terus berubah.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keseimbangan antara parti politik juga semakin dinamik, manakala perkembangan di beberapa negeri memberi isyarat jelas bahawa rakyat sedang menilai semula pilihan mereka.
Katanya, UMNO perlu membaca perubahan tersebut, memahami kehendak rakyat dan menjadi sebahagian daripada kekuatan yang membentuk landskap politik negara.
“Politik sedang disusun semula, pola sokongan rakyat sedang bergerak dan keseimbangan antara parti-parti juga semakin dinamik.
“Perkembangan di beberapa negeri memberi kita isyarat jelas bahawa rakyat sedang menilai semula pilihan mereka.
“Sabah memberikan kita peringatan, Johor memberikan kita kebangkitan, Negeri Sembilan memberikan kita keyakinan dan insya-Allah, Pahang akan memberikan kita kecemerlangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang berkata, perkembangan itu menunjukkan bahawa politik Malaysia sedang mencari keseimbangan baharu.
Sehubungan itu, katanya, UMNO perlu memasuki PRU-16 dengan keyakinan teguh serta mengemukakan tawaran yang lebih dinamik, dekat dengan denyut nadi rakyat dan diyakini generasi baharu.
“UMNO mesti memasuki PRU-16 dengan keyakinan yang teguh, bukan dengan nostalgia masa lalu, tetapi dengan tawaran masa depan yang lebih dinamik, lebih dekat dengan denyut nadi rakyat dan lebih diyakini generasi baharu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa cabaran PRU-16 berbeza mengikut negeri dan kawasan, manakala pengundi juga mempunyai pertimbangan yang berlainan.
Katanya, UMNO tidak boleh terlalu yakin dengan kejayaan yang dicapai, sebaliknya perlu membina keyakinan rakyat menerusi prestasi, inisiatif, santunan dan khidmat yang berterusan.
“Tugas kita bukan sekadar mengulangi kejayaan, tetapi membina keyakinan baharu dengan prestasi yang boleh dilihat, inisiatif yang boleh dirasa, santunan yang sampai kepada jiwa rakyat dan khidmat yang tidak pernah putus,” katanya. – UTUSAN
The post UMNO perlu fahami perubahan politik menjelang PRU-16 appeared first on Utusan Malaysia.





