
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meninjau persiapan akhir Belanjawan Madani Kelima (Belanjawan 2027) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan Kementerian Kewangan atas usaha mereka dalam menyiapkan belanjawan berkenaan.
“Mudah-mudahan Belanjawan 2027 ini terus memperkukuh ekonomi, meringankan beban rakyat, membuka lebih banyak peluang dan memastikan manfaat pembangunan dirasai secara lebih adil.
“Penghargaan kepada seluruh pasukan Kementerian Kewangan yang telah bekerja keras menyiapkannya,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Menerusi beberapa gambar yang dikongsikan, Anwar dilihat bersama pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan pada Hari Tinjauan Belanjawan 2027 selain memegang dokumen berkaitan belanjawan berkenaan.
Belanjawan 2027 yang merupakan Belanjawan Madani Kelima dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat esok, Jumaat, 9 Oktober, pukul 3.30 petang.
Pembentangan itu dijangka memberi tumpuan kepada langkah memperkukuh ekonomi negara, menangani kos sara hidup serta memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat.
Belanjawan berkenaan turut menjadi antara agenda utama kerajaan bagi menetapkan hala tuju perbelanjaan dan dasar fiskal negara untuk tahun depan. – KOSMO! ONLINE
The post Anwar tinjau persiapan akhir Belanjawan 2027 appeared first on Kosmo Online.






