
KUALA LUMPUR - Belanjawan 2027 yang dibentangkan hari ini dijangka menggariskan langkah kerajaan untuk memperkukuh ekonomi negara, memperluas peluang pekerjaan dan memastikan kemakmuran ekonomi dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual membentangkan belanjawan tahunan kelima di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI di Dewan Rakyat pada 3.30 petang ini.
Pembentangan itu bakal memperincikan perancangan kewangan dan hala tuju pembangunan negara bagi tahun kedua pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Mengangkat tema “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, Belanjawan 2027 hadir ketika Malaysia berusaha mengekalkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan daya saing negara dan memperluas manfaat pembangunan kepada rakyat serta sektor perniagaan.
Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus pada suku kedua 2026, manakala pertumbuhan bagi keseluruhan tahun ini diunjurkan antara 4.0 hingga 5.0 peratus.
Prestasi tersebut memberikan asas kepada kerajaan untuk meneruskan agenda pembangunan yang menekankan peningkatan produktiviti, pengukuhan perniagaan tempatan dan penerokaan sektor ekonomi dengan pulangan lebih tinggi.
Antara bidang yang berpotensi diberikan perhatian ialah industri pembuatan berteknologi tinggi, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).
Pelaburan dalam semua sektor berkenaan penting untuk meningkatkan keupayaan industri tempatan, memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan serantau serta mewujudkan pekerjaan yang menawarkan kemahiran dan pendapatan lebih baik.
Pada masa sama, kemudahan infrastruktur perlu terus diperkasa bagi menyokong perkembangan ekonomi dan menarik minat pelabur.
Ini merangkumi penambahbaikan bekalan air dan elektrik, rangkaian pengangkutan serta kemudahan digital yang menjadi keperluan utama operasi perniagaan moden.
Pembangunan negara juga perlu bergerak seiring dengan usaha merapatkan jurang kemudahan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Pelaksanaan projek tebatan banjir, pembangunan luar bandar serta penambahbaikan kemudahan asas di Sabah dan Sarawak antara aspek penting bagi membantu meningkatkan kesejahteraan penduduk, khususnya di kawasan yang masih ketinggalan dari segi pembangunan.
Kemudahan awam yang lebih baik bukan sahaja memudahkan urusan harian penduduk, malah membuka akses lebih luas kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan peluang pekerjaan.
Penambahbaikan jaringan pengangkutan dan logistik juga dapat membantu perniagaan di kawasan luar bandar berkembang dengan lebih berkesan.
Bagi rakyat, antara perkara utama menjadi perhatian ialah sejauh mana pertumbuhan ekonomi mampu mengurangkan tekanan kos sara hidup, meningkatkan pendapatan dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih terjamin.
Sehubungan itu, pendekatan pemberian bantuan dan subsidi secara bersasar penting bagi memastikan golongan yang benar-benar memerlukan terus mendapat sokongan kerajaan.
Pada masa sama, penyaluran bantuan yang lebih cekap dapat membantu mengoptimumkan penggunaan wang awam supaya peruntukan mencukupi untuk sektor penting seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur.
Sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga perlu terus diberikan sokongan memandangkan peranannya dalam menjana kegiatan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan.
Kemudahan mendapatkan pembiayaan, bantuan untuk penggunaan teknologi serta inisiatif meningkatkan produktiviti boleh membantu perusahaan tempatan memperluas operasi, menembusi pasaran baharu dan mengambil bahagian dalam rantaian pengeluaran industri yang lebih besar.
Dalam memastikan semua agenda itu dapat dilaksanakan, keupayaan kerajaan mengurus hasil dan perbelanjaan negara secara berhemah turut menjadi faktor penting.
Pengurusan kewangan yang cekap dapat menyediakan ruang untuk membiayai keperluan pembangunan, di samping memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan.
Secara keseluruhannya, Belanjawan 2027 bukan sekadar menetapkan peruntukan kewangan kerajaan, tetapi turut menjadi penentu kepada pelaksanaan agenda ekonomi dan pembangunan negara dalam tempoh mendatang.
Keberkesanannya akan dinilai berdasarkan hasil yang dapat dirasai rakyat, termasuk peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan lebih baik, kemudahan awam mencukupi serta peluang ekonomi lebih seimbang antara wilayah dan lapisan masyarakat.
Matlamat akhirnya adalah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang dicapai dapat diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat, di samping membina ekonomi negara lebih kukuh dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. - Getaran, 9 Oktober 2026






