sarah13/10/2026 - 11:38 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt - Sektor pengguna dijangka menjadi penerima manfaat utama Belanjawan 2027 berikutan langkah pelepasan cukai yang berpotensi meningkatkan kuasa beli rakyat, khususnya golongan berpendapatan sederhana, menurut Rakuten Trade Sdn Bhd.
Ketua Penyelidikan Rakuten Trade, Kenny Yee berkata, sektor pengguna merupakan penerima manfaat utama daripada pelbagai insentif Belanjawan 2027. Selain bantuan tunai yang dilanjutkan dan pelepasan cukai lebih luas, pelarasan cukai pendapatan individu berpotensi meningkatkan kuasa beli isi rumah berpendapatan sederhana selepas lebih 10 tahun tanpa pelarasan seumpamanya.
"Gabungan langkah percukaian berkenaan dianggarkan memberi tambahan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai," katanya.
Belanjawan 2027 menaikkan had pelepasan cukai pendapatan individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, selain mengurangkan kadar cukai pendapatan individu pemastautin sebanyak satu mata peratusan bagi julat pendapatan bercukai RM70,001 hingga RM100,000 dan RM100,001 hingga RM150,000.
Selain itu, gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, manakala perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu itu.
Bagi sektor pembinaan, Rakuten Trade menyifatkan 2027 sebagai tahun pelaksanaan projek. Walaupun tiada projek mega infrastruktur baharu diumumkan, peruntukan pembangunan sebanyak RM83 bilion dijangka menyokong aktiviti projek sedia ada.
Sabah dan Sarawak pula akan menerima peruntukan pembangunan gabungan sebanyak RM34.9 bilion.
Dalam sektor hartanah, pembeli rumah pertama yang layak bagi rumah berharga sehingga RM500,000 akan menikmati pengecualian penuh duti setem. Bagi rumah berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000, pengecualian penuh diberikan untuk RM500,000 pertama, manakala baki harga rumah menikmati pengecualian sebanyak 50%.
Insentif itu terpakai bagi perjanjian yang layak dan ditandatangani antara 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030. Menurut Rakuten Trade, langkah itu berpotensi menyokong permintaan dalam segmen hartanah pasaran massa serta memberi manfaat kepada pemaju yang mempunyai pendedahan dalam segmen tersebut.
Sektor utiliti dan tenaga boleh baharu turut menjadi tumpuan, termasuk pelaburan RM15 bilion oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi memperkukuh grid elektrik negara.
Bagaimanapun, Rakuten Trade mengingatkan bahawa prospek sektor yang positif tidak menjamin kenaikan harga saham setiap syarikat.
Pendedahan perniagaan, penilaian saham, tekanan kos serta keupayaan syarikat menterjemahkan peluang kepada keuntungan kekal sebagai faktor penting yang perlu dipertimbangkan pelabur.- DagangNews.com






