Belanjawan 2027: Suntikan RM16 bilion bantuan STR, SARA pacu perbelanjaan isi rumah - BIMB Securities

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 9:07 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2027: Suntikan RM16 bilion bantuan STR, SARA pacu perbelanjaan isi rumah - BIMB Securities Image from: Belanjawan 2027: Suntikan RM16 bilion bantuan STR, SARA pacu perbelanjaan isi rumah - BIMB Securities sarah15/10/2026 - 09:07 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt - Peruntukan bantuan tunai RM16 bilion, peluasan pembelian barangan makanan menggunakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta pelepasan cukai individu lebih tinggi dijangka meningkatkan kuasa beli rakyat dan merancakkan perbelanjaan isi rumah di bawah Belanjawan 2027.

 

Langkah itu mencerminkan usaha kerajaan memperkukuh penggunaan domestik dengan memperluas sokongan bukan sahaja kepada golongan berpendapatan rendah, malah turut merangkumi kumpulan berpendapatan sederhana melalui penjimatan cukai dan peningkatan pendapatan boleh guna.

 

Menurut BIMB Securities Research (BIMB Securities) , Belanjawan 2027 secara keseluruhan lebih menyokong perbelanjaan pengguna berbanding jangkaan sebelum pembentangannya, didorong bantuan bersasar yang lebih meluas serta langkah mengurangkan tekanan kos sara hidup.

 

 

 

 

 

 

 

Peruntukan gabungan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat kepada RM16 bilion, manakala bantuan SARA bulanan dinaikkan kepada RM150, membolehkan penerima yang layak memperoleh sehingga RM1,800 setahun.

 

Selain itu, pengenalan SARA MADANI yang memperluas bantuan kepada individu bukan penerima STR melalui pembayaran dua kali setahun dijangka membolehkan lebih banyak isi rumah menikmati sokongan kewangan secara langsung.

 

Bantuan itu turut diperkukuh melalui peluasan kategori pembelian menggunakan SARA bagi merangkumi hasil segar, ikan, ayam dan barangan pasar basah menerusi outlet terpilih Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

 

Langkah tersebut penting kerana sebahagian besar perbelanjaan isi rumah berpendapatan rendah tertumpu kepada makanan dan keperluan harian, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup serta mengekalkan kemampuan membeli barangan asas.

 

lg

 

Manfaat turut dirasai golongan M40

Dalam pada itu, Belanjawan 2027 turut memperluas sokongan kepada kumpulan M40 melalui peningkatan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, selain pengurangan satu mata peratusan bagi kadar cukai dalam julat pendapatan terpilih.

 

BIMB Securities menganggarkan langkah berkenaan berpotensi memberikan tambahan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai.

 

Peningkatan pendapatan boleh guna itu dijangka memberikan ruang kepada isi rumah untuk meningkatkan perbelanjaan, termasuk bagi barangan rumah, produk gaya hidup dan perkhidmatan makanan, selepas memenuhi keperluan asas.

 

Berbanding golongan berpendapatan rendah yang lazimnya mengutamakan makanan dan barangan keperluan, pengguna berpendapatan sederhana berpotensi menyalurkan sebahagian daripada penjimatan cukai kepada perbelanjaan bukan keperluan.

 

Pada masa sama, langkah sokongan kepada pekerja gig, kemampuan memiliki rumah dan penjagaan kanak-kanak turut membantu memperkukuh kedudukan kewangan isi rumah merentasi kumpulan pendapatan berbeza.

 

sr

 

Bantuan pengguna meningkat 60% sejak 2024

BIMB Securities berkata, Belanjawan 2027 perlu dilihat sebagai kesinambungan strategi kerajaan untuk memperkukuh jaringan perlindungan sosial melalui bantuan bersasar.

 

Peruntukan STR dan SARA meningkat daripada RM10 bilion dalam Belanjawan 2024 kepada RM16 bilion dalam Belanjawan 2027, iaitu pertambahan kira-kira 60%.

 

Peningkatan itu menunjukkan peranan bantuan bersasar yang semakin penting dalam menyokong penggunaan domestik, di samping pendekatan yang beralih daripada perlindungan subsidi secara umum kepada bantuan yang lebih khusus dan peluasan kumpulan penerima.

 

Walaupun langkah berkenaan dijangka membantu mengekalkan perbelanjaan isi rumah sepanjang tahun, tekanan kos sara hidup masih menjadi pertimbangan penting, khususnya apabila kenaikan gaji dan kos operasi perniagaan berpotensi mempengaruhi harga barangan serta perkhidmatan.

 

Kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan, berkuat kuasa Jun 2027, misalnya, dijangka meningkatkan pendapatan pekerja dan menyokong penggunaan, tetapi turut menambah kos penggajian majikan.

 

Kerajaan memberikan pengecualian kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan hasil tahunan di bawah RM50 juta daripada keperluan gaji minimum yang lebih tinggi, sekali gus mengurangkan kesan segera terhadap perniagaan lebih kecil.

 

 

 

 

 

Secara keseluruhan, BIMB Securities berpandangan bahawa gabungan bantuan tunai, peluasan akses kepada barangan makanan, pelepasan cukai dan sokongan kepada kumpulan pendapatan sederhana menjadikan Belanjawan 2027 lebih menyeluruh dalam memperkukuh kuasa beli rakyat.

 

Namun, sejauh mana langkah itu meningkatkan perbelanjaan sebenar bergantung pada keutamaan isi rumah, khususnya sama ada lebihan pendapatan digunakan untuk pembelian barangan bukan keperluan atau terus tertumpu kepada makanan, perumahan dan perbelanjaan harian. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved