sarah15/10/2026 - 10:07 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Okt - Bantuan khas penjawat awam menjadi antara perkara paling mencuri perhatian rakyat selepas Belanjawan 2027 dibentangkan, apabila carian Google mengenainya melonjak 3,250% dalam tempoh seminggu, mengatasi carian berkaitan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang meningkat 2,700% dan gaji minimum baharu RM2,000 sebanyak 2,600%.
Analisis agensi pemasaran digital One Search Pro mendapati carian berkaitan gaji minimum baharu RM2,000 turut meningkat 2,600% dalam tempoh seminggu selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu.
Pengasas One Search Pro, Eric Ang berkata, corak carian itu menunjukkan rakyat lebih tertarik kepada langkah yang memberi kesan langsung kepada kewangan mereka, termasuk bantuan tunai, kenaikan pencen, gaji minimum dan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Kajian itu menjejaki 40 kata kunci berkaitan belanjawan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris melalui Google Trends, dari tiga hari sebelum hingga empat hari selepas pembentangan, manakala data Ahrefs digunakan untuk mengukur anggaran jumlah carian bulanan bagi setiap kata kunci.
Antara penemuan paling ketara ialah lonjakan carian bagi istilah “cuti bersalin” yang meningkat kira-kira 10 kali ganda daripada paras biasa pada 9 dan 10 Oktober, malah mencapai sekitar 14 kali ganda dalam analisis mengikut jam. Carian itu memuncak pada 6 petang, susulan pengumuman berkaitan cuti bersalin penjawat awam dan pelepasan cukai baharu bagi penjagaan selepas bersalin.
Kajian itu turut mendapati rakyat mahukan maklumat yang ringkas dan mudah difahami, bukannya sekadar teks penuh ucapan belanjawan. Carian seperti “ringkasan belanjawan 2027”, “belanjawan 2027 summary” dan “teks ucapan belanjawan 2027” mencatatkan lonjakan ketara, manakala “bajet 2027 live” meningkat 750%.

Pada masa sama, sebahagian pengguna masih mencari penjelasan mengenai perkara asas dalam dasar kerajaan. Carian “apa itu STR” meningkat 150%, “maksud pelepasan cukai” naik 300%, manakala carian “beza SST dan GST” mencatatkan lonjakan melebihi 5,000%, yang dikategorikan Google sebagai carian “Breakout”.
Dari segi masa, minat carian bergerak hampir seiring dengan pengumuman dalam ucapan belanjawan. Carian mengenai gaji minimum dan cukai pendapatan memuncak sekitar 4 petang, diikuti penjawat awam pada 5 petang, manakala carian mengenai cuti bersalin dan pesara mencapai kemuncak sekitar 6 petang.
Sebaliknya, langkah yang telah dilaksanakan sebelum pembentangan tidak mencetuskan peningkatan carian yang ketara. Carian berkaitan subsidi petrol BUDI95 kekal hampir pada paras biasa, manakala carian bil elektrik menurun, menunjukkan pengumuman semula langkah sedia ada tidak semestinya menarik perhatian baharu.
Eric berkata, dapatan itu memberi petunjuk kepada perniagaan, termasuk bank, majikan, syarikat insurans dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), supaya menyediakan penerangan yang jelas mengenai kesan belanjawan kepada pelanggan dan pekerja sejurus sesuatu pengumuman dibuat. Beliau berkata kandungan berbentuk “apa maknanya untuk anda” yang diterbitkan dengan pantas berpotensi membantu organisasi menjangkau pengguna ketika minat carian sedang memuncak - DagangNews.com




