johardy12/10/2026 - 08:00 Oleh Farah Rosley editor@dagangnews.com Tambahan pendapatan boleh guna sebanyak RM1,600 setahun boleh membawa perubahan bermakna kepada isi rumah yang berdepan tekanan kos sara hidup.
Namun, persoalan lebih besar bagi Belanjawan 2027 ialah sama ada kelegaan itu akan disertai pertumbuhan pendapatan yang mampan, produktiviti lebih tinggi dan perlindungan sosial yang lebih kukuh.
Inilah cabaran utama Belanjawan MADANI kelima. Pengurangan cukai dan bantuan kepada isi rumah boleh mengurangkan tekanan kewangan semasa.
Namun, peningkatan taraf hidup yang berkekalan memerlukan perniagaan menjadi lebih produktif, pekerja meningkatkan kemahiran dan pelaburan menjana kegiatan ekonomi bernilai lebih tinggi.
Kerajaan membentangkan belanjawan yang bersifat mengembang berjumlah RM459.8 bilion ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, perubahan teknologi dan kos tenaga yang lebih tinggi.
Pada masa sama, defisit fiskal diunjurkan turun kepada 3.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027, selaras dengan komitmen terhadap pengukuhan kedudukan fiskal.
Mengimbangi keutamaan ini bukan tugas mudah. Isi rumah memerlukan sokongan, perniagaan berdepan peningkatan kos operasi dan kerajaan perlu mengekalkan keupayaan kewangan untuk menangani cabaran pada masa hadapan. Keberkesanan belanjawan bergantung pada sejauh mana semua matlamat ini dapat saling menyokong.

Bagi kira-kira 5 juta pembayar cukai, kenaikan pelepasan cukai pendapatan individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, peningkatan beberapa pelepasan cukai peribadi lain serta pengurangan satu mata peratusan kadar cukai pendapatan individu pemastautin bagi julat pendapatan tertentu boleh menambah pendapatan boleh guna sehingga RM1,600.
Langkah ini mengambil kira tekanan yang dihadapi isi rumah berpendapatan sederhana serta kepentingan mereka kepada permintaan domestik. Golongan berpendapatan sederhana yang kukuh dari segi kewangan menyediakan asas lebih baik untuk pertumbuhan mampan.
Langkah seterusnya ialah memastikan peningkatan kuasa berbelanja disokong oleh keupayaan menjana pendapatan yang lebih tinggi.
Bantuan perlu kukuhkan daya tahan
Belanjawan 2027 turut meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah, menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027 serta memperkukuh perlindungan sosial pekerja gig.
Secara keseluruhan, langkah ini bertujuan meningkatkan jaminan kewangan golongan rentan.
Kesan jangka panjangnya bergantung pada sama ada bantuan kekal bersasar dan disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang mampan, produktiviti lebih tinggi serta perlindungan sosial yang mencukupi.
Bantuan segera penting, tetapi tujuannya juga perlu merangkumi usaha membantu isi rumah menghadapi kejutan kewangan pada masa hadapan.
Pengurangan cukai PMKS
Perniagaan berdepan cabaran yang serupa. Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyumbang kira-kira 40% kepada ekonomi Malaysia dan menggaji sekitar lapan juta pekerja. Keupayaan mereka untuk terus beroperasi, melabur dan berkembang memberi kesan langsung kepada pendapatan isi rumah.
Pengurangan kadar cukai pendapatan PMKS, peluasan kemudahan pembiayaan, skim jaminan yang lebih besar, penambahbaikan program pembiayaan mikro serta pengecualian daripada keperluan kenaikan gaji minimum dijangka membantu perusahaan ini mengurus aliran tunai dan tekanan kos dalam jangka pendek.
Bagaimanapun, akses kepada pembiayaan hanyalah sebahagian daripada keperluan tersebut. Perniagaan juga memerlukan keupayaan untuk menggunakan modal dengan berkesan. Penggunaan teknologi, pembangunan tenaga kerja dan inovasi boleh membantu syarikat meningkatkan produktiviti serta bersaing untuk mendapatkan peluang perniagaan bernilai lebih tinggi.
Di sinilah langkah untuk isi rumah dan perniagaan saling berkait. Permintaan domestik yang lebih kukuh boleh menyokong perniagaan, manakala perniagaan yang lebih produktif boleh mewujudkan keadaan yang membolehkan pendapatan berkembang secara mampan.
Pelaksanaan yang berkesan perlu mengubah hubungan ini menjadi manfaat yang berkekalan.
Pelaburan mesti bina keupayaan
Belanjawan 2027 memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan melalui penambahbaikan dan pelanjutan insentif bagi perkhidmatan global, teknologi, pelaburan hijau serta syarikat pemula.
Sokongan kepada industri strategik dan pelaburan domestik menerusi GEAR-uP turut menggalakkan pelaburan semula serta pengembangan perniagaan.
Penekanan terhadap sektor semikonduktor, aeroangkasa, perkhidmatan digital, peranti perubatan, logistik dan pembuatan termaju membuka peluang untuk memperkukuh keupayaan domestik.
Manfaatnya akan lebih besar apabila pelaburan membangunkan pembekal tempatan, memindahkan teknologi dan meningkatkan kepakaran tenaga kerja.
Antara langkah penting ialah penambahbaikan insentif Hab Perkhidmatan Global (GSH). Langkah ini memperkenalkan kadar cukai keutamaan 5% bagi syarikat GSH baharu yang memenuhi syarat serta pendapatan tambahan yang memenuhi syarat bagi syarikat GSH dan Hab Prinsipal sedia ada yang layak. Insentif tersebut boleh diperbaharui untuk tempoh lima tahun setiap kali, sehingga tempoh keseluruhan maksimum 30 tahun.
Potensi tempoh insentif selama 30 tahun itu memberi kumpulan multinasional kejelasan lebih baik ketika memilih lokasi hab perkhidmatan. Pengecualian cukai pegangan dan duti setem bagi syarikat GSH yang menjalankan aktiviti perbendaharaan serta pengurusan dana turut memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai lokasi ibu pejabat serantau, perkhidmatan bersama dan operasi perbendaharaan.
Peluangnya melangkaui usaha menarik syarikat untuk bertapak di negara ini. Matlamatnya adalah untuk membawa fungsi pengurusan serantau, perbendaharaan dan pembuatan keputusan yang lebih besar dan bermakna ke Malaysia, sekali gus menghasilkan manfaat ekonomi lebih luas serta hubungan lebih kukuh dengan perniagaan tempatan.
Perniagaan memerlukan garis panduan pelaksanaan yang jelas, kepastian pentadbiran dan panduan dasar yang tepat pada masanya untuk menilai peluang ini dengan yakin. Rangka kerja insentif yang menarik dapat memberikan manfaat sepenuhnya apabila pelabur memahami syaratnya dan boleh membuat perancangan jangka panjang.
Pelaksanaan penentu kejayaan
Prinsip yang sama terpakai kepada pembaharuan fiskal dan institusi. Unjuran pengurangan defisit mencerminkan komitmen berterusan terhadap kredibiliti fiskal, manakala cadangan Rang Undang-Undang Entiti Milik Kerajaan serta peningkatan ketelusan perolehan bertujuan memperkukuh tadbir urus dan akauntabiliti.
Pendedahan nama kontraktor dan nilai kontrak kepada umum di bawah Akta Perolehan Kerajaan boleh meningkatkan ketelusan serta keyakinan awam.
Bagi perniagaan dan pelabur, pembaharuan ini sama pentingnya dengan insentif cukai kerana kekuatan institusi serta proses yang jelas dan konsisten mempengaruhi keputusan jangka panjang.
Seiring perkembangan program pembiayaan, insentif dan strategi pelaburan, pengaturan peralihan yang praktikal serta penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan amat diperlukan. Panduan yang diberikan tepat pada masanya boleh membantu perniagaan merebut peluang dan mengurangkan ketidaktentuan sepanjang pelaksanaan.
2 sudut menilai Belanjawan 2027
Oleh itu, Belanjawan 2027 wajar dinilai dari dua sudut: sama ada ia mengurangkan tekanan yang dihadapi isi rumah dan perniagaan hari ini, serta sama ada ia memperkukuh keupayaan mereka untuk menjana pendapatan, melabur dan berkembang pada masa hadapan.
Kedua-duanya diperlukan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Belanjawan ini menggabungkan bantuan bersasar, disiplin fiskal dan langkah meningkatkan daya saing.
Kejayaannya bergantung pada pelaksanaan yang hasilnya boleh diukur serta kerjasama awam-swasta yang kukuh untuk menterjemahkan cadangan tersebut kepada produktiviti lebih tinggi, keupayaan domestik lebih kukuh dan pertumbuhan mampan.
Tambahan wang dalam poket rakyat sememangnya dialu-alukan. Ujian yang lebih besar ialah sama ada Malaysia mampu mengubah sokongan itu menjadi peningkatan berkekalan dalam daya tahan kewangan isi rumah, daya saing perniagaan dan taraf hidup rakyat. - DagangNews.com






