KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH), kemelut Felda dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seharusnya menyentak sanubari rakyat mengenai kesan penyalahgunaan kuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apabila kuasa disalahgunakan, bukan sahaja wang ringgit yang hilang, malah hak rakyat dan maruah negara turut terjejas.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, rasuah yang sistemik dan berakar umbi perlu dibanteras habis-habisan.
“RCI Tabung Haji, kemelut Felda dan sebelumnya skandal 1MDB seharusnya menyentak sanubari kita: apabila kuasa disalah guna, yang hilang tidak hanya wang ringgit, tetapi hak rakyat dan maruah negara,” katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Sehubungan itu, kerajaan akan menggubal Rang Undang-Undang Entiti Milik Kerajaan bagi memperketat tatakelola syarikat kerajaan dan badan berkanun.
Langkah tersebut bertujuan mengekang keterlanjuran seumpama skandal 1MDB, kemelut Tabung Haji dan Felda daripada berulang.





