KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan bakal digubal bagi memperketatkan tatakelola entiti yang diamanahkan untuk mengurus wang dan aset rakyat.
Ia antara usaha Kerajaan Madani dalam memperkukuhkan agenda reformasi memandangkan 2027 bakal memasuki tahun kelima pentadbirannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RUU itu meliputi syarikat kerajaan dan badan berkanun untuk mengekang sebarang keterlanjuran seperti skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), kemelut Lembaga Tabung Haji (TH) serta FELDA daripada berulang lagi.
Bagi memperkukuhkan tatakelola dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam, Anwar memaklumkan semua kutipan bayaran balik pinjaman perlu digunakan semula untuk tujuan serta kumpulan sasaran yang diluluskan sahaja.
Jelasnya, ia termasuk pinjaman pendidikan mahupun perniagaan yang dibiayai melalui peruntukan mengurus serta peruntukan pembangunan disalurkan secara langsung kepada badan berkanun Persekutuan.
"Dasar kerajaan sedia ada menetapkan kutipan bayaran balik pinjaman oleh badan berkanun Persekutuan yang menggunakan dana Kerajaan Persekutuan tidak boleh digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus badan berkanun, program atau aktiviti lain mahupun apa-apa perbelanjaan di luar kelulusan peruntukan asal.
"Kerajaan akan berganding bahu dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor korporat dalam memantapkan penyampaian kepada rakyat.
“Umpamanya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat telekomunikasi dilibatkan dalam pelaksanaan bekalan elektrik desa serta ketersambungan Internet bagi mempercepatkan pelaksanaan projek melalui penyatuan dana kerajaan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.
Susulan Akta Perolehan Kerajaan yang berkuat kuasa mulai 2027, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan akan memantapkan ketelusan dengan menzahirkan maklumat projek termasuk kontraktor dan nilai kontrak.
Tambahnya, badan penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memperhebat keupayaan operasi dengan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion.
Pada hemat beliau apabila tatakelola diperbetulkan, hasil pembaharuan dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat.
“Sebagai contoh, hasil jualan nombor plat khas telah dipulangkan kepada rakyat. Mahasiswa peroleh bantuan RM500 tiket penerbangan, anak muda miskin menjalani ujian lesen B2 secara percuma dan topi keledar percuma diedarkan,” ujarnya.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, kerajaan bakal mengkaji penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia bagi mengenal pasti undang-undang lapuk dan jurang perundangan.
“Undang-undang kontrak, jualan barangan dan pengantaraan turut diteliti agar pertikaian lebih cepat diselesaikan.
“Di samping itu, undang-undang jenayah dan keterangan diperbaharui, pembelaan awam diperkukuhkan manakala mangsa, kanak-kanak dan golongan rentan diberi perlindungan lebih berkesan,” jelasnya lagi.






