
PETALING JAYA – Pelepasan cukai individu turut diperluas dan ini termasuk kos pemvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen hari ini.
“Ramai yang minat kucing, ada yang minat kupu-kupu, ada yang minat ular. Semua itu terangkum dalam (pelepasan cukai),” katanya.
Beliau berkata, selain itu pelepasan cukai individu turut merangkumi rawatan perubatan diperluas meliputi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin, manakala penjagaan ibu bapa dan datuk nenek diperluas meliputi semua perbelanjaan penjagaan dan tidak lagi terhad kepada kesihatan.
“Selain itu, yuran pengajian dan kemahiran diperluas meliputi semua bidang pengajian dan tuisyen anak.
“Gaya hidup diperluas merangkumi langganan kecerdasan buatan (AI),” katanya hari ini.
Anwar berkata, had pelepasan cukai individu yang tidak disemak sejak 2010, dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000.
Katanya, kerajaan mendengar keresahan golongan pertengahan (M40) yang cekal bersabar meskipun turut terhimpit beban sara hidup.
Dalam masa sama, beliau berkata, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak satu mata peratusan.
“Banjaran pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM100,000 dikurangkan kepada 18 peratus.
“Banjaran pendapatan bercukai antara RM100,000 hingga RM150,000 dikurangkan kepada 24 peratus,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Belanjawan 2027: Vaksin ‘anak bulus’ dapat pelepasan cukai appeared first on Kosmo Online.






