
Usaha meringankan beban rakyat dan menangani tekanan kos sara hidup menjadi antara fokus Belanjawan MADANI 2027 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat ini.
Anwar berkata, Belanjawan MADANI Kelima turut memberi tumpuan kepada usaha melindungi rakyat, membuka peluang serta memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai dengan lebih adil.
Menurut beliau, belanjawan berkenaan berpaksikan tekad untuk terus memperkukuh ekonomi negara, selain memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada kehidupan rakyat yang lebih baik.
“Saya sedar, pertumbuhan ekonomi sahaja belum memadai jika masih ada rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup.
“Justeru, Belanjawan 2027 akan terus memberi tumpuan kepada usaha meringankan beban, melindungi rakyat, membuka peluang dan memastikan manfaat pembangunan dirasai dengan lebih adil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas memberikan taklimat berkaitan Belanjawan MADANI 2027 kepada rakan media tengah hari tadi bagi menjelaskan hala tuju serta ikhtiar Kerajaan MADANI untuk rakyat.
Baca juga:Anwar berkata, segala perincian berkaitan Belanjawan MADANI 2027 akan dibentangkan pada Jumaat ini.
“Segala perincian akan saya bentangkan Jumaat ini, Insya-Allah. Semoga segala ikhtiar ini dipermudah dan diberkati Allah SWT,” katanya.





