
GEORGE TOWN – Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat ini dijangka memberi perhatian lebih kepada sektor pertanian bagi menghadapi fenomena El Nino yang berpotensi membawa suhu sehingga 40 darjah Celsius.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keadaan cuaca panas berpanjangan itu perlu diberi perhatian serius, khususnya dari aspek bekalan air serta kelangsungan sektor pertanian dan ternakan.
Menurut beliau, persediaan awal perlu dilakukan bagi menghadapi kemungkinan berlaku kekeringan serta kekurangan bekalan air akibat perubahan cuaca.
“Saya berkeyakinan pada Jumaat ini Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan yang mungkin memberi kelebihan sikit kepada Kementerian Pertanian, antaranya bagi menghadapi masalah El Nino pada tahun depan.
“Ini semua yang kita hadapi. Selain jerebu, kita akan berdepan El Nino yang dijangka membawa suhu sehingga 40 darjah Celsius,” katanya ketika berucap pada Program Makan Malam di Dewan Recsam, Gelugor di sini, malam tadi.
Mohamad Sabu berkata, antara persoalan yang perlu diberi perhatian ialah kemampuan sektor pertanian dan penternakan untuk terus beroperasi sekiranya berlaku cuaca panas melampau serta kekurangan air.
“Bagaimana ternakan ikan secara terbuka hendak menghadapi keadaan ini? Bagaimana pula sekiranya berlaku kekurangan air? Semua perkara ini perlu kita bincangkan dan rancang dengan teliti,” katanya.
Beliau memberitahu, pihaknya turut mendapat pandangan pakar dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan sains bagi membantu kerajaan membuat persediaan menghadapi perubahan cuaca yang semakin sukar dijangka.
“Ramalan cuaca tidak semestinya tepat 100 peratus, tetapi setiap maklumat awal perlu kita ambil perhatian supaya apabila sesuatu kejadian berlaku, kita tidak berada dalam keadaan panik.
“Kita perlu berada dalam keadaan bersedia dan mencari jalan dengan bantuan pakar teknologi, AI, sains dan sebagainya untuk menghadapi keadaan cuaca ini,” katanya.
Tambahnya, persediaan itu penting memandangkan fenomena cuaca panas berkenaan dijangka berlaku dalam tempoh yang agak panjang, iaitu dari penghujung tahun ini sehingga April tahun depan. -KOSMO! ONLINE
The post Belanjawan 2027 dijangka beri tumpuan hadapi El Nino – Mohamad appeared first on Kosmo Online.






