Belanjawan Selangor 2027: MB ikrar teruskan pentadbiran moderat dan progresif

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 3:32 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Belanjawan Selangor 2027: MB ikrar teruskan pentadbiran moderat dan progresif

SHAH ALAM, 13 NOV: Dato’ Seri Amirudin Shari berikrar akan meneruskan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang moderat dan progresif bertunjangkan prinsip keadilan yang memberi perhatian kepada keperluan rakyat tanpa mengira latar belakang politik dan ideologi.

Dato’ Menteri Besar berkata semua bantuan kerajaan disalur berpandukan data dan fakta dengan tekad memberi peluang seadil mungkin kepada rakyat untuk menikmati peluang hidup yang lebih baik.

“Kerajaan ini tidak bersikap melampau ke kanan mahupun ke kiri. Kerajaan ini mengambil jalan tengah demi rakyat dan untuk rakyat.

“Maka menjadi kewajipan kerajaan ini untuk membuka ruang dan peluang lebih luas agar rakyat dapat mengecap kehidupan lebih baik dan bermaruah,” katanya berucap membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Amirudin juga menegaskan keyakinannya bahawa “rakyat adalah pemegang taruh utama” sementara kerajaan bertanggungjawab antaranya untuk meneroka peluang baharu bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

“Jika masalahnya gaji, kita bincangkan kemahiran, produktiviti dan peningkatan upah. Jika masalahnya rumah, kita bincangkan harga, bekalan dan lokasi.

“Dengan cara itu, lebih ramai rakyat dapat merasai bahawa kepentingan mereka menjadi keutamaan dalam keputusan yang kita ambil bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin mengingatkan konsep kuasa dan tanggungjawab yang harus dipegang oleh semua wakil rakyat.

Katanya, pemerintah tidak mempunyai kuasa mutlak untuk bertindak sewenang-wenangnya. 

Sebaliknya, pemerintah memegang amanah rakyat dan bertanggungjawab menjaga kepentingan rakyat termasuk generasi akan datang.

“Saya optimis tentang masa depan Selangor. Kerana kita mempunyai pengalaman hidup dan bekerja bersama dalam sebuah negeri progresif yang rencam dan moderat,” katanya. 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved