Selangor tegas, tiada kompromi salah guna rumah ibadat untuk jenayah

LocalPolitics
26 Oct 2026 • 2:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor tegas, tiada kompromi salah guna rumah ibadat untuk jenayah

SHAH ALAM, 26 OKT: Kerajaan Negeri menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan rumah ibadat bagi tujuan jenayah tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang pihak terbabit.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata beliau menyokong usaha pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang didapati terlibat.

“Rumah ibadat sepatutnya menjadi tempat yang dihormati, dipelihara kesuciannya dan memberikan ketenangan kepada penganut agama masing-masing, bukannya dijadikan tempat penyimpanan bahan terlarang atau menjalankan kegiatan jenayah.

“Bagaimanapun, kita perlu membezakan antara perbuatan jenayah individu dengan institusi keagamaan serta komuniti penganut agama berkenaan.

“Kesalahan segelintir individu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memburukkan atau menstigma keseluruhan komuniti agama tertentu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, jenayah sindiket dadah yang menjadikan kuil tidak berdaftar sebagai stor simpanan bukan membabitkan soal agama atau kaum, tetapi soal kedaulatan undang-undang, keselamatan masyarakat dan penghormatan terhadap kesucian rumah ibadat.

Pada masa sama, katanya, pematuhan terhadap peraturan berkaitan penggunaan tanah dan premis rumah ibadat perlu terus dikuatkuasa oleh pihak berkuasa terbabit mengikut peruntukan undang-undang terpakai.

“Kerajaan Negeri perlu terus memastikan keharmonian masyarakat berbilang agama dan kaum dipelihara. Kebebasan beragama merupakan hak yang perlu dihormati, namun hak tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk melindungi sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Jumaat lalu, polis Selangor membongkar taktik sindiket dadah yang menjadikan sebuah kuil tidak berdaftar di Klang sebagai lokasi penyimpanan bahan terlarang, yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan heroin sejal awak tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilapor berkata, sindiket itu terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dengan kumpulan tersebut dan bekerja secara sambilan di rumah ibadat berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved