Belanjawan Selangor 2027: MPKj mohon peruntukan tingkat kemudahan awam, tangani banjir

LocalPolitics
31 Oct 2026 • 7:27 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Belanjawan Selangor 2027: MPKj mohon peruntukan tingkat kemudahan awam, tangani banjir

KAJANG, 31 OKT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berharap Belanjawan Selangor 2027 memberi tumpuan kepada usaha menangani banjir, penyelenggaraan jalan raya dan menaik taraf kemudahan awam yang memerlukan peruntukan besar.

Yang Dipertuanya Nazli Md Taib berkata sokongan Kerajaan Negeri penting bagi membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan projek dan kerja penambahbaikan yang tidak mampu ditampung melalui peruntukan sendiri.

“Kita berharap limpahan dan impak Belanjawan Selangor 2027 turut dirasai PBT, terutama dalam membantu menyelesaikan keperluan di peringkat tempatan.

“Antara perkara yang boleh kita kemukakan ialah keperluan berkaitan isu banjir seperti projek tebatan banjir dan perkara lain yang memerlukan bantuan Kerajaan Negeri melalui peruntukan yang disediakan,” katanya.

Image from: Belanjawan Selangor 2027: MPKj mohon peruntukan tingkat kemudahan awam, tangani banjir
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Nazli Md Taib berucap ketika perasmian Kajang Smart City Command Center (KS2C) di Kajang pada 28 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANG0R

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pagi Tanpa Kenderaan MPKj sempena Hari Karnival dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2026 (HPPK2026) di Stadium Kajang, hari ini.

Program berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga esok.

Menurut Nazli, bantuan menerusi peruntukan negeri membolehkan PBT melaksanakan projek dan kerja penambahbaikan berdasarkan keperluan setempat, khususnya melibatkan isu yang memerlukan dana lebih besar.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan penyelenggaraan jalan raya turut memerlukan penyelarasan antara agensi berikutan tidak semua laluan berada di bawah bidang kuasa PBT.

“Bagi sesetengah kawasan di Selangor, bukan semua jalan di bawah bidang kuasa PBT kerana ada yang di bawah Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Sehubungan itu, perkara berkaitan perlu dibawa kepada perhatian negeri bagi mendapatkan penyelesaian mengikut bidang kuasa pihak bertanggungjawab,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved