
KLANG, 3 OKT: Belanjawan Selangor 2027 akan memberi tumpuan kepada usaha menangani isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat khususnya pengurusan sampah, banjir dan aspek daya huni, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri turut meneliti keperluan golongan memerlukan terutama membabitkan persekolahan anak-anak, makanan dan peluang pekerjaan.
“Kita akan menangani perkara yang menjadi perhatian utama rakyat khususnya berkaitan pengurusan sampah, banjir dan daya huni di Selangor.
“Kita juga akan cuba mengenal pasti isu utama yang menjadi perhatian golongan memerlukan termasuk keperluan persekolahan anak-anak, makanan dan pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Tuaian Anak Harapan (TUAH) TAWAS dan Penyerahan Manfaat RM1,500 kepada penerima di Pusat Konvensyen KSL di sini, hari ini.
Amirudin berkata penyediaan Belanjawan Selangor 2027 ketika ini masih melalui proses libat urus menerusi forum dan perbincangan kumpulan fokus (FGD) bersama pihak berkaitan.
"Kita masih dalam proses perbincangan Belanjawan menerusi forum dan FGD bersama kumpulan berkaitan," ujarnya.
Dalam masa sama, Amirudin berkata Belanjawan Selangor 2027 akan terus mendukung sasaran negeri untuk mencapai nilai ekonomi RM500 bilion dalam tempoh satu setengah tahun akan datang.
"Sudah tentu kita akan terus memacu ekonomi Selangor ke arah RM500 bilion dalam tempoh satu setengah tahun akan datang," katanya.
Belanjawan Selangor 2027 dijadual dibentang pada 13 November.






