Selangor perkasa aktiviti intelektual, beri ruang belia berdebat

LocalPolitics
3 Oct 2026 • 9:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor perkasa aktiviti intelektual, beri ruang belia berdebat

PETALING JAYA, 3 OKT: Kerajaan Negeri memperluas agenda pembangunan belia melangkaui sukan dan rekreasi dengan memberi tumpuan lebih besar kepada aktiviti intelektual seperti debat.

EXCO Belia Mohd Najwan Halimi berkata pendekatan itu bagi memastikan semua kelompok anak muda di Selangor mendapat ruang menyertai program yang bersesuaian dengan minat masing-masing.

“Kita mahu mendekati semua segmen anak muda di Selangor. Sebab itu, di bawah portfolio belia yang saya terajui, saya tekankan bahawa kita juga perlu mendekati kumpulan anak muda yang terbabit dalam program berasaskan dialog, intelektual dan debat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Kejohanan Debat Raja Muda Selangor (RMSDC) di Sunway Resort Hotel di sini hari ini.

Najwan berkata aktiviti debat banyak dilaksanakan di sekolah, namun sebahagian anak muda masih kekurangan platform untuk mengetengahkan bakat serta kebolehan mereka.

Image from: Selangor perkasa aktiviti intelektual, beri ruang belia berdebat
EXCO Belia Mohd Najwan Halimi ditemui media ketika Kejohanan Debat Raja Muda Selangor 2026 (RMSDC) di Sunway Resort Hotel pada 3 Oktober 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Menurutnya, program seperti RMSDC bukan semata-mata berorientasikan kemenangan, sebaliknya memberi peluang kepada golongan muda menyuarakan pandangan sambil membina kemahiran berhujah secara rasional, berhemah dan berasaskan fakta.

“Ini bukan soal menang, tetapi memberi mereka peluang untuk bersuara,” katanya.

Najwan berkata Kerajaan Negeri bercadang meneruskan penganjuran kejohanan itu pada tahun depan susulan sambutan menggalakkan, dengan beberapa penambahbaikan termasuk penyertaan lebih ramai peserta.

Pertandingan kali ini dikendalikan dalam Bahasa Inggeris, manakala Bahasa Malaysia berpotensi diperkenalkan sebagai medium atau kategori tambahan pada masa depan.

Beliau berkata aktiviti intelektual memerlukan sokongan lebih besar memandangkan program sukan lazimnya mampu digerakkan sendiri oleh golongan muda, manakala mereka yang berminat dalam program berasaskan ilmu turut memerlukan ruang untuk berkembang.

Anak muda juga perlu didedahkan kepada isu lebih luas termasuk geopolitik dan ekonomi global sebagai persediaan menghadapi dunia yang semakin kompetitif.

Image from: Selangor perkasa aktiviti intelektual, beri ruang belia berdebat
Sekolah Menegah Sains Kuala Selangor juara Kejohanan Debat Raja Muda Selangor 2026 (RMSDC) di Sunway Resort Hotel pada 3 Oktober 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

RMSDC berlangsung selama dua hari membabitkan 42 pasukan dengan 170 pendebat muda dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Program itu menyediakan platform kepada anak muda untuk mencabar idea, bertukar pandangan, membina keyakinan serta meningkatkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved