SHAH ALAM - Tindakan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Selangor berkecuali ketika undi belah bahagi Belanjawan Selangor 2027 disifatkan sebagai petunjuk mereka tidak serius untuk bersama-sama kerajaan negeri menyelesaikan isu rakyat.
ADUN Seri Serdang, Abbas Azmi berkata, Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff berkemungkinan tidak mengikuti perbahasan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor sehingga gagal memahami isu sebenar berhubung keputusan itu.
Abbas yang juga Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Selangor berkata, Belanjawan Selangor 2027 dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memberi tumpuan kepada permasalahan utama negeri, selain menyediakan pelbagai insentif dan inisiatif untuk rakyat tanpa mengira latar belakang.
Katanya, sebanyak RM503.15 juta diperuntukkan bagi pembangunan prasarana termasuk RM36.45 juta untuk tebatan banjir, RM19.38 juta bagi sistem saliran dan RM25 juta untuk mitigasi banjir SMG.
"Selain itu, RM17.90 juta diperuntukkan bagi pembangunan dan pengurusan lembangan sungai, RM26 juta untuk Kolam Takungan Banjir Sungai Jati, Klang serta RM6.45 juta bagi projek pembangunan pantai.
"Kerajaan negeri turut menyediakan RM6.63 juta bagi projek saliran mesra alam pada 2027 bagi memastikan pelaksanaan program mitigasi banjir berjalan lancar," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Abbas berkata, kejadian banjir di Ijok memerlukan perhatian khusus kerajaan negeri, malah Menteri Besar sudah beberapa kali turun ke kawasan itu dan mengarahkan beberapa langkah segera.
Justeru, beliau mempersoalkan tindakan ADUN Ijok yang turut berkecuali ketika undi belah bahagi, sedangkan kawasan berkenaan memerlukan usaha berterusan untuk menangani masalah banjir.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai usaha yang pernah dilaksanakan ketika ADUN Pas memegang portfolio Exco Infrastruktur Awam sebelum ini bagi menangani masalah banjir di Selangor.
Dalam perkembangan sama, Abbas turut mempersoalkan keputusan tujuh ADUN pembangkang itu yang berkecuali berhubung tambahan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).
"Tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada mereka menganggap tambahan elaun berkenaan sebagai perkara remeh, sedangkan kepentingan guru Kafa turut melibatkan masyarakat Melayu Islam," katanya.
Mengenai sokongan ADUN pembangkang lain terhadap belanjawan itu, beliau yakin mereka memahami kepentingan mengetepikan kepartian demi menyelesaikan isu yang membabitkan negeri dan rakyat.
Abbas turut menjelaskan Cooperation Strategy Agreement (CSA) yang dibangkitkan sebelum ini masih belum mempunyai keputusan muktamad dan tidak mengubah kedudukan ADUN, sebaliknya hanya membabitkan persefahaman tertentu berkaitan urusan Dewan Negeri Selangor.
Sementara itu, menyentuh isu pusat penyembelihan ayam yang diserbu pihak penguat kuasa susulan penemuan aktiviti penyembelihan meragukan, beliau berkata, premis berkenaan sudah lama beroperasi di kawasan itu, termasuk ketika Seri Serdang diwakili ADUN Pas.
Bagaimanapun, katanya, isu berkenaan dapat diselesaikan ketika beliau menjadi ADUN Seri Serdang.
Beliau turut mengkritik tindakan ADUN Pas yang didakwa lebih banyak bercakap dan mengkritik berbanding menyelesaikan masalah, selain menasihatkan Ketua Penerangan Pas Selangor supaya menilai diri sendiri sebelum menuding jari kepada pihak lain.
"Saya menyeru semua pihak mengetepikan kepentingan parti apabila berhadapan isu rakyat dan mencontohi kesungguhan Menteri Besar serta barisan Exco kerajaan negeri yang terus berusaha menyelesaikan masalah walaupun berdepan kritikan," katanya.
Abbas berkata, tiada jaminan Pas mampu menyelesaikan isu negeri, malah beliau membangkitkan keadaan negeri-negeri SG4 yang disifatkannya menyedihkan.
Beliau turut menegaskan demokrasi tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar, sambil menyatakan sokongan rakyat Selangor terhadap kerajaan PH mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib rakyat.





