
SHAH ALAM, 23 NOV: Dewan Negeri Selangor (DNS) tidak akan mengambil tindakan terhadap tujuh Ahli Dewan Negeri (ADN) yang berkecuali ketika pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Belanjawan Selangor 2027 minggu lalu.
Speaker DNS Lau Weng San berkata setiap ADN mempunyai hak menentukan pendirian masing-masing, namun bertanggungjawab menjelaskan keputusan mereka kepada rakyat di kawasan diwakili.
Beliau menegaskan DNS sebagai badan perundangan progresif tidak akan menghukum mana-mana ahli hanya kerana mempunyai pandangan atau pendirian berbeza.
"Hari ini semasa perbahasan dewan, perkara ini juga dijadikan sebagai satu topik tumpuan di mana ada ADN mencabar supaya dewan membawakan satu usul mengeluarkan ataupun menghalau ADN yang tidak bersetuju atau mengambil keputusan tidak menyokong mana-mana usul kerajaan.
"Saya ingin menegaskan bahawa DNS merupakan sebuah dewan legislatif yang progresif dan tidak akan menghukum mana-mana ahli yang mengambil keputusan untuk tidak menyokong.
"Kita tidak perlu mengeluarkan mana-mana ADN hanya kerana beliau membuat keputusan ataupun mengundi tidak bersetuju atau berkecuali atau tidak hadir untuk mengundi," katanya pada sidang media selepas Persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Weng San berkata beliau menerima surat daripada ADN Seri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi pagi tadi yang meminta supaya nama ADN berkecuali dalam pengundian RUU berkenaan didedahkan.
Katanya, isu itu turut menjadi perhatian ketika perbahasan apabila terdapat ADN mencadangkan supaya satu usul dibawa bagi mengeluarkan atau menghalau ahli yang tidak menyokong belanjawan berkenaan.
Beliau berkata, nama ADN yang menyokong, berkecuali atau tidak hadir tidak akan dibacakan secara terbuka, sebaliknya direkodkan dalam penyata rasmi dan diterbitkan menerusi laman web DNS.
“Nama mereka yang menyokong, tidak menyokong, berkecuali ataupun tidak hadir akan diterbitkan dalam pernyataan rasmi atau lawan web dewan.
"Saya membuat keputusan untuk meminta nama dan keputusan mereka (ADN) kepada Setiausaha Dewan dimasukkan ke dalam penyata rasmi bertarikh 20 November 2026," katanya.
Minggu lalu, 42 ADN menyokong RUU Perbekalan Belanjawan Selangor 2027 dalam sesi pengundian, sementara tujuh lagi tidak hadir dan tujuh berkecuali.





