Belanjawan Terengganu 2027: Kesejahteraan sebagai ukuran sebenar pembangunan

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 3:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Belanjawan Terengganu 2027: Kesejahteraan sebagai ukuran sebenar pembangunan
Belanjawan Terengganu 2027 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Undangan Negeri pada 16 November 2026 bertemakan "Melakar Bahagia, Memacu Sejahtera". Gambar kecil: Hairul Azhar

BELANJAWAN sesebuah kerajaan lazimnya dinilai melalui jumlah peruntukan, kedudukan defisit dan senarai projek yang diumumkan.

Ukuran tersebut penting, namun tidak memadai untuk menjawab persoalan yang lebih mendasar: sejauh manakah pembangunan benar-benar meningkatkan kualiti kehidupan rakyat?

Belanjawan Terengganu 2027 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Undangan Negeri pada 16 November 2026 menjawab persoalan ini secara langsung.

Bertemakan "Melakar Bahagia, Memacu Sejahtera", belanjawan ini meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai ukuran akhir kejayaan dasar negeri.

Peta strategi, bukan senarai projek

Pendekatan pembentangan kali ini berbeza daripada kelaziman. Menteri Besar tidak memperincikan program satu per satu, sebaliknya membentangkan peta strategi yang perlu dilaksanakan secara bersepadu oleh agensi negeri, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Pendekatan ini mencerminkan pemikiran sistem. Matlamat ditetapkan terlebih dahulu, pemacu disusun, dan seluruh jentera pentadbiran diselaraskan ke arah yang sama.

Keberkesanan sesebuah kerajaan tidak ditentukan oleh bilangan projek yang diumumkan, tetapi oleh kejelasan hala tuju yang difahami dan dilaksanakan oleh semua pihak.

Disiplin fiskal dan ketelusan

Belanjawan 2027 memperuntukkan RM1.983 bilion bagi perbelanjaan mengurus, termasuk caruman RM450 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan. Jumlah hasil dianggarkan RM2.088 bilion, menghasilkan lebihan kira-kira 5 peratus.

Dalam suasana ketidaktentuan pasaran tenaga dan peningkatan kos sara hidup, kedudukan ini menunjukkan pengurusan kewangan yang berhemah.

Terengganu juga diiktiraf sebagai negeri paling telus dari segi belanjawan berdasarkan Indeks Belanjawan Terbuka Malaysia (MyOBI) bagi tahun 2022, 2024 dan 2026.

Pengiktirafan bebas yang konsisten ini memperkukuh kepercayaan awam, iaitu asas penting bagi sebarang agenda pembangunan jangka panjang.

Kesejahteraan sebagai metrik dasar

Aspek paling signifikan dalam belanjawan ini ialah penegasan bahawa pertumbuhan ekonomi dan kedudukan fiskal mesti dinilai berdasarkan sejauh mana ia menjadikan kehidupan rakyat lebih bermaruah dan bermakna.

Lima faktor kesejahteraan digariskan, iaitu keagamaan, kekeluargaan, kemasyarakatan, keintelektualan dan keselamatan.

Kerangka ini selari dengan prinsip Maqasid Syariah yang menekankan pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Ia juga sejajar dengan perbahasan antarabangsa yang mengakui keterbatasan KDNK sebagai ukuran kemajuan, seperti pengenalan Wellbeing Budget oleh New Zealand pada 2019.

Komitmen ini disokong oleh data. Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) bagi Terengganu meningkat kepada 116.7 mata, manakala 77 peratus peruntukan pembangunan, iaitu RM346 juta, disalurkan kepada sektor sosial.

Anjakan paradigma pelaburan

Pada masa yang sama, Menteri Besar mengakui bahawa negeri tidak boleh terus bergantung kepada perbelanjaan kerajaan. Pelaburan swasta perlu dipergiat dan rantaian nilai domestik diperkukuh.

Beliau menyeru agar Terengganu beralih daripada peranan "penjaga pintu" yang menunggu kehadiran pelabur kepada "pengejar" yang secara proaktif mencari pelabur berpotensi.

Tawaran negeri perlu dibingkaikan sebagai ekosistem menyeluruh merangkumi bahan mentah, tenaga kerja mahir, sokongan utiliti dan keupayaan eksport melalui integrasi ECRL serta pelabuhan.

Pendekatan rantaian nilai ini telah menunjukkan hasil dalam sektor pertanian. Pada 2025, KDNK pertanian Terengganu mencatat pertumbuhan 4.2 peratus dengan nilai tambah RM3.1 bilion, kedua tertinggi di Malaysia dan melebihi purata nasional sebanyak 2.2 peratus.

Peranan TVET aras tinggi

Ekosistem pelaburan yang digambarkan bergantung kepada satu faktor kritikal, iaitu ketersediaan tenaga kerja mahir. Fokus Keempat belanjawan ini secara khusus menekankan latihan kemahiran aras tinggi dan ekosistem pekerjaan yang kondusif.

Penekanan ini wajar diberi perhatian serius oleh institusi pendidikan tinggi negeri. Sasarannya bukan sekadar meningkatkan kebolehpasaran graduan, tetapi memastikan anak Terengganu mengisi jawatan teknikal bernilai tinggi dalam sektor strategik negeri.

Inisiatif seperti TVET Career Connect Terengganu, Karnival Kesejahteraan Pekerjaan 2027, program peningkatan dan pemahiran semula penjawat awam, serta Program Latihan Kemahiran Pondok menyediakan landasan kerjasama yang jelas.

Sebagai Universiti TVET aras tinggi milik kerajaan negeri, UC TATI komited menyokong agenda ini melalui kurikulum yang dibangunkan bersama industri, pensijilan profesional berpengiktirafan antarabangsa, dan program pemahiran semula untuk tenaga kerja sedia ada.

Kesimpulan

Belanjawan Terengganu 2027 memperlihatkan kepimpinan yang menggabungkan ketegasan fiskal, kejelasan nilai dan keberanian mengubah pendekatan.

Ia menegaskan bahawa pembangunan sebenar bukan sekadar pertumbuhan angka, tetapi peningkatan kualiti hidup yang dirasai oleh setiap lapisan masyarakat.

Hala tuju telah dilakar oleh kepimpinan negeri. Kejayaannya kini bergantung kepada keupayaan semua pihak, iaitu kerajaan, industri, institusi pendidikan dan masyarakat, untuk melaksanakannya secara bersepadu.

* Prof Ir Dr Hairul Azhar Abdul Rashid ialah Rektor, Universiti Kolej TATI (UC TATI), Terengganu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved