Tiada ADUN Bersatu dipecat di Terengganu - Ahmad Samsuri

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 4:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiada ADUN Bersatu dipecat di Terengganu - Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri (tengah) ketika ditemui media selepas membentangkan Belanjawan Terengganu 2027 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Terengganu di Wisma Darul Iman pada Isnin.

​KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri tidak bercadang melakukan sebarang rombakan terhadap barisan pentadbiran terutama melibatkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) termasuk wakil daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

​Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kedudukan barisan kepimpinan kekal seperti sedia ada selagi ia berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

​“Buat masa ini, semuanya berjalan agak lancar. Mungkin ada sedikit perbezaan dengan Kelantan.

​“Tetapi kita lihat sejauh mana urusan pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik, kita akan teruskan begini buat masa ini,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan Belanjawan Terengganu 2027 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini pada Isnin.

​Kedudukan wakil Bersatu dalam pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Pas menjadi perhatian susulan perkembangan politik melibatkan kedua-dua parti tersebut.

​Sebelum ini, Pengerusi Bersatu Kelantan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, Datuk Kamarudin Md Nor digugurkan daripada jawatan Exco kerajaan negeri berkuat kuasa 9 November lalu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pelantikan beliau tidak disambung, selepas mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri memaklumkan kerajaan Terengganu turut dibantu oleh barisan Timbalan Exco yang terdiri daripada wakil Pas dan Bersatu.

​Menurutnya, sebarang perubahan terhadap kedudukan mereka hanya akan dipertimbangkan sekiranya timbul isu yang memerlukan tindakan lanjut.

​“Sekiranya ada masalah, barulah kita boleh mengambil tindakan. Bagaimana tindakan itu, kita tengoklah nanti,” ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved